Hijrah Sumber Kekuatan Umat




Penghijrahan kaum Muslimin yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w dari kota Mekah ke kota Madinah adalah merupakan satu dimensi baru kepada dakwah Islamiah dan seterusnya penghayatan kepada ajaran Islam yang sebenar. Penghijrahan umat Islam dari suasana yang lama iaitu Mekah kepada satu suasana baru iaitu Madinah adalah detik terpenting kepada pembaharuan sistem nilai dan hidup manusia.

Penghijrahan yang merupakan proses kematangan penyebaran risalah Allah s.w.t ini tidak mungkin berjaya jika tidak diiringi perubahan sikap dan prinsip umat Islam dalam berhadapan suasana baru.

Sejarah telah menukilkan bagaimana Rasulullah s.a.w menanamkan benih-benih perpaduan, persaudaraan, tolong menolong, pengorbanan, kesungguhan, kecintaan dan ketakwaan di dalam sanubari umat Islam ketika itu iaitu antara golongan Muhajirin dan Ansar. Itulah unsur-unsur terpenting bagi umat Islam ketika itu sebagai persediaan menghadapi cabaran dan ujian yang datangnya sama ada dari kaum Musyrikin Quraisy, golongan munafik, tipu daya iblis atau dari nafsu di dalam diri mereka sendiri.

Hijrah mengajar kita betapa pentingnya sikap cekal di dalam diri. Kecekalan kaum Muhajirin ketika berhijrah dengan merasai ranjau kepayahan, penderitaan, kehilangan harta dan keluarga serta penyeksaan merupakan aset pengajaran yang amat penting dalam membentuk jiwa yang kental kepada generasi muda masa kini. Kecekalan mereka yang berteraskan keyakinan bahawa janji kemenangan dan pertolongan Allah s.w.t pasti benar akhirnya berjaya merobek keangkuhan jahiliah dan menjadikan kebatilan tersungkur hina. Berbekalkan penghayatan nilai kecekalan inilah maka barisan pelapis umat ini berupaya cekal dan tabah dalam mengharungi cabaran alaf baru. Kecanggihan teknologi dan kelicikan tipu daya musuh Islam serta golongan munafik, tidak akan mampu menahan generasi ummah bangun mempertahankan Islam sewajarnya.

Sebagai pelajar, penghijrahan adalah lebih kepada melakukan yang lebih baik dalam proses pembelajaran kita. Pembahagian urusan akademik dan persatuan haruslah seiring, agar tidak terkorban salah satu daripadanya. Pengadaptasian terhadap sesuatu perubahan yang lebih baik, harus diwujudkan agar perubahan tersebut menjadi istiqamah dan berterusan. Mengubah sesuatu menjadi baik itu adalah dari akal fikiran kita sendiri, maka seharusnya selalu memikirkan perubahan tersebut sebagai sesuatu sesuatu yang relevan, dan bukan seperti ‘hangat-hangat tahi ayam sahaja’. Memetik kata pepatah Arab, “Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam, rugilah orang yang sama keadannya hari ini sama dengan semalam dan celakalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam”.

Kesimpulannya, proses membentuk diri ke arah yang lebih baik perlu berterusan dari hari ke hari, dan usaha yang setimpal perlu dilakukan, dan bukan hanya ditumpukan pada ketibaan Sambutan Maal Hijrah sahaja. Sempena Maal Hijrah 1424 kali ini, PSSCM UTP ingin mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah. Semoga Tahun Baru Hijrah kali membawa lebih makna kepada kita dalam mendidik diri menjadi seorang insan yang mampu berbakti kepada agama, bangsa, dan Negara.

Artikel dipetik dan diolah daripada:

Selamat Menghadapi Semester September 2012


    Rasanya masih belum terlambat untuk pihak PSSCM UTP ingin mengucapkan selamat menghadapi semester September 2012, yang kini sudah masuk minggu ketiga. Adalah diharapkan agar semuanya masih bersemangat dan berazam untuk melakukan yang terbaik, bagi melaksanakan amanah yang diberi oleh ibu bapa kita tercinta.

    Susunlah jadual belajar anda dengan baik, dan jangan buang masa dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Sama-sama kita betulkan niat, untuk menghadiahkan sebuah kejayaan kepada ibu bapa kita. Di samping belajar silat untuk menjaga diri, pencapaian akademik juga perlu dijaga, dalam usaha untuk memartabatkan bangsa kita sendiri, iaitu bangsa Melayu, agar terus bangkit dan memakmurkan bumi Malaysia ini.

    Kepada yang sedang dan akan menjalani latihan industri, selamat maju jaya diucapkan. Kepada yang bercuti, berbaktilah kepada kedua ibu bapa semampu anda, sekiranya masih ada. Sekiranya berpeluang, rajin-rajinkanlah diri anda untuk turun ke Kelas Latihan PSSCM berhampiran kawasan anda, agar dapat mengenali lebih ramai ahli PSSCM di seluruh negara.

    Akhir kata, sama-sama kita hayati pesan Guru kita, agar memberi iktibar dan pengajaran kepada semua.

 "Bila anda tidak punya tujuan utama dalam hidup ini, maka anda pasti akan hanyut menuju kegagalan"


Salam Lebaran 1433H



Assalamualaikum w.b.t.

Semoga berbahagia di Aidilfitri,
Sambut bersama saudara-mara dan rakan-rakan;
Kami menyusun sepuluh jari,
Salah dan silap harap maafkan.

Di kesempatan ini, kami dari pihak pentadbiran PSSCM UTP ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh umat Islam. Semoga amalan kita sepanjang bulan Ramadhan Al-Mubarak diterima oleh Allah S.W.T. Sama-samalah kita mengamalkan sikap kunjung mengunjung di Aidilfitri ini.






MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PSSCM UTP KALI KE-14 SESI 2012/2013 DAN MAJLIS BERBUKA PUASA PERDANA PSSCM UTP



Pada 4 Ogos 2012, PSSCM UTP telah berjaya melaksanakan salah satu agenda terpenting dalam takwim persatuan iaitu Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-14 sesi 2012/2013. Mesyuarat yang bertujuan untuk memilih barisan kepimpinan PSSCM UTP baru bagi sesi 2012/2013 telah berlangsung di Dewan Kuliah D3, Poket D, UTP.
Istimewanya, program ini juga disertakan sekali dengan Majlis Berbuka Puasa Perdana sejurus selepas selesainya mesyuarat agung tersebut. Seramai 66 orang ahli PSSCM UTP telah hadir untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai korum mesyuarat serta 21 orang ahli dari PSSCM UiTM Seri Iskandar dan PSSCM Politeknik Premier Ungku Omar turut mengambil bahagian dalam program ini.


Setelah ketibaan tetamu-tetamu kehormat, majlis telah dimulakan dengan ucapan daripada Presiden PSSCM UTP bagi sesi 2011/2012 iaitu Saudara Nor Fakhrul bin Mohd Noor. Dalam ucapannya, beliau menyentuh serba sedikit tentang pencapaian cemerlang yang telah dicapai oleh PSSCM UTP sepanjang sesi 2011/2012.


Para tetamu kehormat yang datang semasa perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke- 14


Pencapaian cemerlang tersebut ialah kejayaan menjadi tuan rumah buat kali pertama bagi Sambutan Hari Tenaga Pengajar PSSCM peringkat kebangsaan dan kejayaan merangkul kejuaraan Karnival Wajadiri IPT PSSCM 1 Malaysia Kali ke-5 pada bulan Februari lepas.


Saudara Nor Fakhrul Bin Mohd Noor ketika sedang memberikan ucapan


Ujar beliau lagi, sesungguhnya kejayaan yang dicapai oleh PSSCM UTP tidak akan terlaksana tanpa pengorbanan dan kesungguhan ahli-ahli PSSCM UTP sendiri. Selain itu, beliau menyeru kepada ahli-ahli agar sentiasa berusaha sehabis baik dalam melakukan sesuatu perkara dan ikutlah resam padi, makin berisi, makin tunduk. Tekannya lagi, kalau kita sentiasa berusaha dan tidak pernah berputus asa dalam melakukan sesuatu perkara apatah lagi sesuatu kebaikan, Allah S.W.T akan memberikan ganjaran setimpal dengan kebaikan yang dilakukan. Insya-ALLAH.


Seterusnya, Mesyuarat Agung Tahunan ini telah dirasmikan oleh Encik Arif bin Mohd Zainudin merangkap Setiausaha PSSCM Cawangan Perak (Baru). Dalam ucapan perasmiannya, Encik Arif ada menceritakan pengalamannya ketika melancong ke China dan melihat cara-cara bangsa Cina menjaga budaya dan seni bela diri mereka. Beliau menyarankan agar kita mencontohi mereka dari segi mempertahan dan mengekalkan warisan nenek moyang kita iaitu seni silat Melayu ini.

Encik Arif Bin Mohd Zainudin, Setiausaha PSSCM Cawangan Perak(Baru) ketika sedang memberikan ucapan perasmian


Secara ringkasnya, beliau mengingatkan ahli-ahli PSSCM amnya tentang perjuangan sebenar silat cekak ini dan jangan sekali-kali melupakan perjuangan generasi terdahulu. Sesungguhnya, tanpa kesungguhan dan ketabahan nenek moyang kita dahulu, tidak mungkin kita akan berada pada tahap ini. Di samping itu, seperti yang disebut oleh Saudara Nor Fakhrul, beliau juga menyeru kepada semua ahli agar melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh dan sepenuh hati. Akhir kata, beliau berpesan agar kita terus berada dalam perjuangan silat Cekak ini dan berusaha untuk berbakti kepada persatuan.



Setelah selesai majlis perasmian dan tetamu-tetamu kehormat berangkat pulang, mesyuarat dimulakan dengan perlantikan Pengerusi Sementara dan dua orang Setiausaha Sementara. Agenda seterusnya ialah pembentangan dan pengesahan Minit Mesyuarat Agung PSSCM UTP Kali ke-13 sesi 2011/2012, pembentangan dan penerimaan Laporan Aktiviti PSSCM UTP sesi 2011/2012 serta pembentangan dan meluluskan Laporan Penyata Kewangan PSSCM UTP sesi 2011/2012.



Setelah melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan selama sepenggal, akhirnya barisan Exco-exco PSSCM UTP bagi sesi 2011/2012 yang diketuai oleh Saudara Nor Fakhrul bin Mohd Noor telah meletakkan jawatan secara rasminya pada jam 4.20 petang. Selesailah tanggungjawab dan lepaslah beban yang dipikul seiring dengan amanah serta kepercayaan yang telah diberikan pada mesyuarat agung lepas.



Kemudian, mesyuarat diteruskan dengan agenda terpenting iaitu sesi pemilihan Ahli Jawatankuasa PSSCM UTP bagi sesi 2012/2013. Berikut merupakan senarai nama mereka yang telah diberi kepercayaan untuk memegang tampuk kepimpinan PSSCM UTP bagi sesi 2012/2013:



Presiden: Nor Fakhrul bin Mohd Noor

Timbalan Presiden: Firdaus bin Roslan

Setiausaha: Nadzirah binti Musa

Bendahari: Norain binti Hamzah

Ketua Penerangan: Amirul Asyraf bin Samsuri



Penolong Setiausaha: Muhammad Syazwan bin Rosley

Exco Perhubungan dan Lawatan: Nur Syahirah binti Nazri

Exco Peralatan dan Harta: Mohammad Azim Tarmizi bin Ya’ccob

Exco Kebajikan dan Muamalat: Mas Idayu binti Moh Saleh

Exco Demonstrasi: Mohamad Khairul Zulfadly bin Mohd Izham

Exco Promosi dan Publisiti: Muhammad Syamim bin Hj Hamzah



                   

Selepas penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan PSSCM UTP Kali ke-14 sesi 2012/2013, semua ahli bersama-sama berganding bahu melakukan persiapan Majlis Berbuka Puasa Perdana PSSCM UTP. Sikap saling bekerjasama sesama ahli tidak kira Tenaga Pengajar, Ahli Tamat ataupun ahli yang sedang belajar bagai aur dengan tebing  telah lama diterapkan dalam PSSCM UTP ini. Persiapan merangkumi kelengkapan makanan, tempat, dan susun atur majlis dilakukan dengan penuh teliti.




Majlis Berbuka Puasa Perdana PSSCM UTP telah diadakan di Perkarangan Kafe Paprika, Poket D, UTP bermula jam 6.30 petang. Majlis dimulakan dengan ketibaan tetamu-tetamu kehormat dan bacaan doa. Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Tuan Haji Mohamed Noor Rosli bin Baharom merangkap Penasihat I PSSCM UTP dan  Encik Mohd Afizal bin Abdul Razak, Penasihat II PSSCM UTP.



Di samping itu, tetamu kehormat yang turut memeriahkan majlis ialah Encik Firdaus Farid bin Abd Rashid iaitu Ahli Jawatankuasa (AJK) PSSCM Cawangan Perak (Baru), Encik Mohd Azuwan bin Maoinser merangkap Penolong Setiausaha I PSSCM Cawangan Perak (Baru) dan juga diserikan dengan kehadiran Encik Khairul Hazwan bin Abdul Rahman, Alumni PSSCM UTP.



Majlis ini telah dirasmikan oleh Encik Abdul Halim bin Saad merangkap Yang Di Pertua PSSCM Cawangan Perak (Baru) dan juga merupakan penyelia kelas latihan PSSCM UTP. Dalam ucapan perasmiannya, beliau mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada barisan kepimpinan baru PSSCM UTP yang dilantik bagi sesi 2012/2013. Ujar beliau lagi, pemimpin yang baik ialah pemimpin yang melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik walaupun menghadapi pelbagai rintangan dan halangan sepanjang menjadi seorang pemimpin. Cabaran yang sukar dan pelbagai  halangan adalah asam garam dalam perjalanan menjadi seorang pemimpin yang disegani oleh kawan dan lawan.



Antara objektif utama Majlis Berbuka Puasa PSSCM UTP ialah meraikan ahli-ahli PSSCM UTP yang bakal menamatkan pelajaran mereka di UTP pada semester ini dan juga mereka yang bakal menjadi graduan pada semester hadapan. Seramai 14 ahli PSSCM UTP telah menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh Encik Abdul Halim bin Saad. Majlis ini adalah sebagai salah satu cara untuk menunjukkan penghargaan kepada mereka yang telah menyumbangkan bakti sama ada dari segi masa, wang, tenaga mahupun buah fikiran. Sesungguhnya, kehadiran mereka ini telah banyak membantu menaikkan nama persatuan sebagai salah sebuah persatuan yang disegani di UTP.



Para hadirin telah dihiburkan dengan tayangan montaj setelah selesai menjamu selera dengan dengan hidangan lazat yang telah disediakan. Satu montaj juga ditayangkan khas untuk mereka yang bakal menamatkan pengajian di UTP yang memaparkan kenangan-kenangan manis sepanjang mereka melibatkan diri dalam PSSCM UTP. Semoga memori yang tercipta sesama kita akan tetap diingati sebagai kenangan indah yang tidak akan luput dimamah usia. Kenangan itu kadang kala terlalu pahit untuk diredah tetapi terlalu manis untuk dikenang dan hidup ini tidak selalunya indah tetapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan.



Akhir kata, kepada mereka yang bakal menjadi graduan pada semester ini dan juga pada semester hadapan, kami semua mengucapkan selamat maju jaya dan selamat menempuhi alam pekerjaan yang ternyata memerlukan ketahanan mental dan fizikal. Jadikanlah pengalaman, ilmu dan kemahiran ihsaniah yang diperoleh sepanjang berada di UTP amnya dan PSSCM UTP khususnya sebagai satu panduan dalam menghadapi cabaran dan halangan di luar sana kelak. Kami, ahli-ahli PSSCM UTP sentiasa mendoakan kejayaan dan kesejahteraan kalian walau di mana jua kalian berada. Insya-ALLAH.



Kepada barisan kepimpinan baru PSSCM UTP bagi sesi 2012/2012, tahniah dan selamat menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik-baiknya. Harapan kami, ahli-ahli PSSCM UTP semoga barisan kepimpinan yang baru ini dapat terus memajukan PSSCM UTP agar terus bertapak kukuh di bumi UTP dan seterusnya mengharumkan nama baik PSSCM bukan sahaja di peringkat Universiti malah di peringkat negeri dan kebangsaan. Insya-ALLAH. 

Notis Kenyataan Mesyuarat Agung PSSCM UTP kali ke-14 Sesi 2012/2013


Kepada:

Semua Ahli,
Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia,
Universiti Teknologi PETRONAS,
Bandar Seri Iskandar,
31750 Tronoh, Perak.


Assalamua’laikum Warahmatullah Hiwabarakatuh,


NOTIS KENYATAAN

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PSSCM UTP KALI KE-14 SESI 2012/2013
PERSATUAN SENI SILAT CEKAK MALAYSIA
UNIVERSITI TEKNOLOGI PETRONAS

Adalah dimaklumkan bahawa Mesyuarat Agung Tahunan PSSCM UTP Kali Ke-14 Sesi 2012/2013 akan diadakan seperti berikut:
 
TARIKH, MASA DAN TEMPAT

Tarikh         : 4 Ogos 2012 (Sabtu)
Masa          : 2.00 Petang
Tempat       : Dewan Kuliah D3, Poket D
Pakaian      : Formal
                    -Kemeja, tali leher dan seluar slack (lelaki)
                    -Baju Kurung (wanita)


Ahli-ahli PSSCM UTP yang sah dan berdaftar melalui PSSCM UTP adalah dikehendaki hadir ke Mesyuarat Agung Tahunan PSSCM UTP Kali Ke-14 Sesi 2012/2013 seperti yang telah dinyatakan di atas.


Sekian, terima kasih.

b/p Setiausaha PSSCM UTP 

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan




     Bersempena dengan Ramadhan kali ini, PSSCM UTP ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada seluruh muslimin dan muslimat. Semoga kita diberi kekuatan dan kesihatan tubuh badan dalam menjalani ibadah puasa pada tahun ini. Semoga dengan keberkatan Ramadhan kali ini dapat menggilap kembali hati kita yang pudar dan melumpuhkan nafsu-nafsu hitam yang membelenggu hati kita selama ini. InsyaAllah.

Berikut disediakan link Perutusan Ramadhan 1433 YM Guru Utama PSSCM.

http://www.youtube.com/watch_popup?v=UFpu_dXdSB0&vq=medium

     Selamat menjalani ibadah berpuasa. 


Daripada ‘Abdur Rahman bin ‘Awf, sabda Nabi SAW: “Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dan berqiam Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab, ia akan keluar daripada dosa-dosanya sepertimana hari ibunya melahirkannya”. (HR al-Nasa’i, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Majah dan al-Bayhaqi)

PROGRAM ‘FAMILY DAY’ PSSCM UTP


Tanggal 15 Julai 2012, PSSCM UTP telah menganjurkan program ‘Family Day’ yang disertai oleh 40 orang ahli bermula pada jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang. Istimewanya, program ini juga disertai oleh Saudara Mohd Azuwan Bin Maoinser, Penolong Setiausaha 1 PSSCM Cawangan Perak (Baru).

Aktiviti pertama iaitu ‘Bersama dan Bersatu 1’ telah dijalankan dengan matlamat supaya setiap ahli PSSCM UTP dapat mengenali dengan lebih dekat antara satu sama lain. Ini merupakan satu peluang yang baik terutamanya kepada ahli-ahli baru UTP 26 untuk mengenali kakak-kakak dan abang-abang mereka dalam PSSCM UTP ini.

Setiap peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut warna pelekat yang diberikan. Seterusnya, mereka perlu menulis nama rakan yang berada di sebelah dan rakan mereka itu pula perlu menulis serangkap pantun tentang dirinya. Aktiviti ini sangat menarik kerana di samping mengetahui nama individu tersebut, kita dapat mengetahui serba sedikit tentang dirinya. Ada yang menulis tentang tempat asalnya, makanan kegemarannya dan ada juga yang menulis tentang sifatnya sama ada dia seorang yang pemalu ataupun garang.



Aktiviti Bersama dan Bersatu 1

Seperti yang diketahui, pantun merupakan salah satu warisan nenek moyang kita. Bak kata pepatah “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”. Aktiviti ini sedikit sebanyak menggalakkan kita supaya menghargai warisan zaman-berzaman dan mengikis perspektif bahawa penggunaan pantun ini sudah ketinggalan zaman. Lihatlah dari sudut pandangan yang berbeza, penggunaan pantun ini sangat meluas dan masih relevan dalam zaman moden ini.

Dalam ‘Bersama dan Bersatu 2’, setiap kumpulan dibahagikan kepada dua kumpulan kecil. Satu kumpulan ditugaskan mencari bahan api manakala yang lain dikehendaki mencari bahan untuk memasak. Aktiviti ini pada asasnya adalah untuk memasak bahan-bahan tertentu mengikut cara masakan rimba.

Berdasarkan konsep ‘treasure hunt’, kumpulan pertama perlu mencari bahan api di kawasan sekitar mengikut petunjuk yang diberikan. Kumpulan pertama ini menghadapi kesukaran untuk mencarinya kerana aktiviti ini meliputi kawasan yang luas.


Aktiviti Bersama dan Bersatu 2

Tugas kumpulan kedua lebih mudah daripada kumpulan pertama kerana seorang wakil hanya perlu menutup mata dan mencari bahan memasak di tempat yang ditetapkan. Berdasarkan arahan daripada ahli kumpulan yang lain, mereka perlu mencari 2 biji telur, 2 biji kentang dan alat untuk memasak dengan mata yang ditutup.

Begitu jualah kita dalam menuntut ilmu ini. Mata yang tertutup mengambarkan betapa ceteknya ilmu kita ini. Sebenarnya, kita memerlukan seorang guru untuk membimbing kita ke arah tujuan yang benar. Oleh itu, janganlah kita sombong dan bongkak setelah berjaya nanti. Ingat, tanpa guru, siapalah kita? Ibarat dengan mata yang tertutup, dapatkah kita melihat? Fikir-fikirkanlah.

Bersambung daripada aktiviti sebelumnya, dalam ‘Bersama dan Bersatu 3’ setiap kumpulan perlu memasak bahan-bahan yang diperoleh mengikut kreativiti masing-masing. Kepantasan berfikir amat diperlukan dalam aktiviti ini. Pelbagai gelagat yang dapat dilihat ketika masing-masing cuba memasak telur dan kentang dalam masa yang pantas kerana hukuman akan dikenakan bagi mereka yang paling lambat siap. Ada yang bertungkus-lumus untuk menghidupkan api dan ada yang hanya mencampak bahan-bahan tersebut ke dalam api.


Aktiviti Bersama dan Bersatu 3
Kami berbesar hati bahawa tetamu istimewa iaitu saudara Mohd Azuwan Bin Maoinser sudi menjadi juri untuk menentukan pemenang aktiviti ini.. Walaupun ada yang telurnya kurang masak dan hampir kesemua kumpulan yang kentangnya masih keras tetapi secara keseluruhannya, beliau sangat berpuas hati dengan hasil kerja setiap kumpulan.



Sesi pemilihan pemenang Aktiviti Bersama dan Bersatu 3


Itulah hasil kerjasama setiap ahli. Pada akhirnya, kita dapat merasa kemanisan melakukan kerja bersama-sama. Begitulah jua dalam berpersatuan ini, setiap ahli perlu saling bekerjasama antara satu sama lain. Kita perlu ingat bahawa ‘’bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Dapatkah kita melaksanakan setiap kerja dalam persatuan sekiranya kita tidak bersatu dan saling tidak mempercayai antara satu sama lain? Tepuk dada, tanya selera.

Program ini dihentikan sebentar pada jam 12.30 tengah hari supaya peserta dapat menikmati makanan tengah hari dan berehat sebelum mengerjakan solar fardhu Zuhur. Selepas itu, program bersambung dengan ‘Bersama dan Bersatu 4’. Aktiviti ini sangat ditunggu-tunggu dan merupakan kemuncak kepada program ‘Family Day’ ini.

Mengambil konsep yang digunakan dalam satu program televisyen iaitu ‘Running Man’, setiap ahli kumpulan dikehendaki mencabut pelekat ahli kumpulan yang lain. Dalam masa yang sama, mereka perlu mengisi botol besar yang disediakan di ‘checkpoint’ utama dengan air. Pemenang hanya akan ditentukan melalui bilangan air yang diisi ke dalam botol tersebut.

Walau bagaimanapun, ada beberapa orang ahli dipilih sebagai pengacau dan tugas mereka ialah mengotorkan air yang telah diisi. Ahli-ahli yang lain perlu menghalang pengacau tersebut daripada mengotorkan air yang telah diisi ke dalam botol. Situasi ini juga dapat dilihat dalam sesebuah organisasi.

Ada kemungkinan wujudnya gunting dalam lipatan yang akan berusaha sedaya upaya untuk menggagalkan usaha murni kita. Situasi ini lagi bahaya daripada anasir-anasir luar yang jahat. Hal ini kerana, mereka ini umpama duri dalam daging dan mampu merosakkan persatuan kita dari dalam. Aktiviti ini sedikit sebanyak mengajar kita supaya sentiasa berwaspada.

Semua peserta memberikan kerjasama yang sangat baik dalam aktiviti ‘Bersama dan Bersatu 4’. Pelbagai aksi dapat dilihat, maklumlah semuanya sudah biasa dengan permainan lasak dan memerlukan stamina yang tinggi. Ahli-ahli perempuan juga melibatkan diri secara aktif dalam permainan ini. Ada yang kelihatan lemah-lembut tetapi awas, jangan lihat pada luarannya sahaja. Mereka juga mampu melawan sesama mereka umpama serikandi Melayu pada zaman dahulu. Apatah lagi dengan ahli-ahli lelaki, aksi-aksi ganas juga dapat dilihat. Ada yang terjatuh, tergolek dan terguling-guling sepanjang permainan.

Aktiviti terakhir adalah untuk mengenakan ahli-ahli yang bakal menamatkan pelajaran mereka di UTP pada semester ini. Bukanlah mengenakan tetapi lebih sebagai kenangan manis kepada kakak-kakak dan abang-abang ini. Mereka ditutup matanya dan disolek dengan bahan-bahan yang dapat diperoleh daripada kawasan sekitar seperti bunga dan daun-daun. Ini merupakan program ‘Family Day’ yang terakhir bagi mereka. Sekurang-kurangnya, mereka dapat meninggalkan UTP dengan kenangan manis yang tercipta bersama-sama dengan adik-adik.




Wajah kakak-kakak dan abang yang bakal menamatkan pelajaran di UTP (Tidak termasuk Abang Syahmi)


Program ‘Family Day’ ini telah berjaya mencapai matlamatnya iaitu menyatukan semua ahli PSSCM UTP sebagai satu keluarga yang besar seperti yang disarankan oleh Yang Mulia Guru Utama, Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah iaitu ‘Bersama dan Bersatu’. Diharapkan program sebegini dapat dilaksanakan lagi pada masa hadapan. Tidak lupa juga, syabas dan tahniah diucapkan kepada Ahli-ahli Jawatankuasa program ‘Family Day’ ini atas segala usaha dan keringat untuk menjayakan program ini serta kepada peserta-peserta yang memberikan kerjasama yang sangat baik. Tahniah.





Wajah-wajah riang para peserta ketika menerima hadiah




Para peserta Family Day bergambar beramai-ramai


Lagi gambar boleh didapati di link ini. Link 1  Link 2




Perlawanan Persahabatan Bola Sepak di UTP


Memetik kata-kata Pemangku Presiden PSSCM UTP, saudara Firdaus Roslan, bertarikh 10 Julai 2012 di laman Facebook PSSCM Cawangan Perak,

“Ayuh bermain bola padang pada pagi sabtu (14 Julai 2012) ini jam 7.45am (jangkaan kick off kalau x terlambat bangun), bertempat di Padang A, UiTM Seri Iskandar. Kita akan adakan 'friendly game' bersempena 'World Cup' yang akan menjelang 2 tahun lagi.”

Sebenarnya, hasrat untuk bermain bola sepak di UTP telah lama disuarakan oleh ahli-ahli PSSCM di Perak ini. Namun, atas kekangan masa, ditambah dengan program-program persatuan, aktiviti tersebut tidak dapat dijalankan. Namun, hasrat tersebut tidak terpendam begitu sahaja. Kenyataan daripada saudara pemangku presiden akhirnya menzahirkan hasrat tersebut.

Setelah diamati, Padang A UiTM Perak tidak dapat digunakan pada tarikh tersebut atas sebab-sebab yang tertentu. Sebagai penyelesaian, akhirnya padang bola sepak UTP menjadi lokasi pilihan. Maka, pada tarikh 14 Julai 2012, bertempat di padang bolasepak UTP, perlawanan persahabatan dilangsungkan. Perlawanan tersebut melibatkan ahli PSSCM dari Ipoh, UiTM Perak dan UTP sendiri. Antara AJK PSSCM Cawangan Perak (Baru) yang terlibat adalah Encik Mohd Zabidi Azizi Bin Abu Kassim, Bendahari PSSCM Cawangan Perak (Baru) dan Mohd Azuwan Bin Maoinser, Penolong Setiausaha 1 PSSCM Cawangan Perak (Baru).


                                                  Padang Bola Sepak UTP
Perlawanan bermula setelah masing-masing selesai menjalankan aktiviti pemanasan badan. Pasukan dibahagikan secara rawak, dan dibezakan oleh ‘bip’ yang dipinjam dari PSSCM UiTM Perak. Sepanjang perlawanan berlangsung, semangat berpasukan, semangat setiakawan dan semangat kesukanan dipamerkan oleh setiap ahli. Masing-masing mahu memberikan yang terbaik untuk pasukan mereka.

Pasukan yang memakai ‘bip’ akhirnya memenangi perlawanan tersebut, setelah tiga separuh masa berlangsung, dengan jumlah jaringan sebanyak 5 gol berbalas 4. Ahli wanita turut hadir bersama-sama pada hari tersebut, dan bermain futsal sesama mereka.
                                                   Antara ahli pasukan yang memakai 'bip'


                                            Segelintir ahli wanita yang hadir


Perlawanan tamat pada pukul 11.30 pagi. Sungai Papan menjadi destinasi seterusnya setelah kepenatan bersukan pada sebelah pagi. Aktiviti mandi-manda di Sg Papan berlarutan sehingga pukul 2 petang, dan Restoran Farouk & Sithik menjadi tumpuan untuk makan tengahari.

Aktiviti seperti ini mampu merapatkan hubungan sesama ahli PSSCM. Adalah diharapkan agar aktiviti seperti ini akan dapat dilakukan dengan lebih kerap lagi pada masa hadapan. Berikut adalah beberapa gambar  lagi yang sempat di’snap’ sepanjang aktiviti tersebut.








Dan berikut adalah gambar yang diambil di Sungai Papan.


Lagi gambar boleh didapati di link berikut.

http://on.fb.me/NRdVTn

Terima kasih.




Pengambilan Ahli Baru UTP 26

Keratan akhbar KOSMO.



     Dua beranak, amah ditikam perompak? Jenayah, seperti yang kita dapat lihat sekarang semakin berleluasa. Pihak berkuasa mampu untuk mengurangkan jenayah tersebut, namun mampukah mereka untuk sentiasa berada di sisi kita, untuk menjaga keselamatan kita? Mahukah kita menjadi salah seorang daripada mangsa tersebut?

    Maka dengan itu, persiapkanlah diri kita dengan seni bela diri yang terbaik, seni yang diamalkan oleh nenek moyang kita, iaitu seni silat. Silat bukanlah sekadar seni warisan negara, tetapi ia juga berfungsi sebagai ilmu yang sememangnya perlu dimiliki oleh setiap insan. Selain mempertahankan diri, seni silat juga mampu membentuk disiplin dan moral seseorang. Perkara ini dapat dilihat melalui thesis seorang pelajar dari Universiti Sains Malaysia yang mengatakan, "Perguruan silat juga mendokong kehendak adat dan etika perhubungan antara guru dan rakan sebaya ‘seperguruan’ berpandukan sistem kod etika dan disiplin."


     Oleh itu, untuk semester Mei 2012, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Universiti Teknologi Petronas (PSSCM UTP) telah mengadakan program pengambilan ahli baru.


Klik gambar untuk melihat dengan lebih jelas.



Klik gambar untuk melihat dengan lebih jelas.

Pengambilan masih terbuka sehingga 30hb Jun 2012. 'Biar mati anak, jangan mati adat'. Jom ramai-ramai kita pelajari Seni Silat Cekak Malaysia!