Pada 4 Ogos 2012,
PSSCM UTP telah berjaya melaksanakan salah satu agenda terpenting dalam takwim
persatuan iaitu Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-14 sesi 2012/2013. Mesyuarat
yang bertujuan untuk memilih barisan kepimpinan PSSCM UTP baru bagi sesi
2012/2013 telah berlangsung di Dewan Kuliah D3, Poket D, UTP.
Istimewanya,
program ini juga disertakan sekali dengan Majlis Berbuka Puasa Perdana sejurus
selepas selesainya mesyuarat agung tersebut. Seramai 66 orang ahli PSSCM UTP
telah hadir untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai korum mesyuarat
serta 21 orang ahli dari PSSCM UiTM Seri Iskandar dan PSSCM Politeknik Premier
Ungku Omar turut mengambil bahagian dalam program ini.
Setelah ketibaan
tetamu-tetamu kehormat, majlis telah dimulakan dengan ucapan daripada Presiden
PSSCM UTP bagi sesi 2011/2012 iaitu Saudara Nor Fakhrul bin Mohd Noor. Dalam
ucapannya, beliau menyentuh serba sedikit tentang pencapaian cemerlang yang
telah dicapai oleh PSSCM UTP sepanjang sesi 2011/2012.
Para tetamu kehormat yang datang semasa perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke- 14
Pencapaian
cemerlang tersebut ialah kejayaan menjadi tuan rumah buat kali pertama bagi
Sambutan Hari Tenaga Pengajar PSSCM peringkat kebangsaan dan kejayaan merangkul
kejuaraan Karnival Wajadiri IPT PSSCM 1 Malaysia Kali ke-5 pada bulan Februari
lepas.
Saudara Nor Fakhrul Bin Mohd Noor ketika sedang memberikan ucapan
Ujar beliau lagi,
sesungguhnya kejayaan yang dicapai oleh PSSCM UTP tidak akan terlaksana tanpa
pengorbanan dan kesungguhan ahli-ahli PSSCM UTP sendiri. Selain itu, beliau
menyeru kepada ahli-ahli agar sentiasa berusaha sehabis baik dalam melakukan
sesuatu perkara dan ikutlah resam padi, makin berisi, makin tunduk. Tekannya
lagi, kalau kita sentiasa berusaha dan tidak pernah berputus asa dalam
melakukan sesuatu perkara apatah lagi sesuatu kebaikan, Allah S.W.T akan
memberikan ganjaran setimpal dengan kebaikan yang dilakukan. Insya-ALLAH.
Seterusnya,
Mesyuarat Agung Tahunan ini telah dirasmikan oleh Encik Arif bin Mohd Zainudin
merangkap Setiausaha PSSCM Cawangan Perak (Baru). Dalam ucapan perasmiannya,
Encik Arif ada menceritakan pengalamannya ketika melancong ke China dan melihat
cara-cara bangsa Cina menjaga budaya dan seni bela diri mereka. Beliau
menyarankan agar kita mencontohi mereka dari segi mempertahan dan mengekalkan
warisan nenek moyang kita iaitu seni silat Melayu ini.
Encik Arif Bin Mohd Zainudin, Setiausaha PSSCM Cawangan Perak(Baru) ketika sedang memberikan ucapan perasmian
Secara ringkasnya,
beliau mengingatkan ahli-ahli PSSCM amnya tentang perjuangan sebenar silat
cekak ini dan jangan sekali-kali melupakan perjuangan generasi terdahulu.
Sesungguhnya, tanpa kesungguhan dan ketabahan nenek moyang kita dahulu, tidak
mungkin kita akan berada pada tahap ini. Di samping itu, seperti yang disebut
oleh Saudara Nor Fakhrul, beliau juga menyeru kepada semua ahli agar melakukan
sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh dan sepenuh hati. Akhir kata, beliau
berpesan agar kita terus berada dalam perjuangan silat Cekak ini dan berusaha
untuk berbakti kepada persatuan.
Setelah selesai
majlis perasmian dan tetamu-tetamu kehormat berangkat pulang, mesyuarat
dimulakan dengan perlantikan Pengerusi Sementara dan dua orang Setiausaha
Sementara. Agenda seterusnya ialah pembentangan dan pengesahan Minit Mesyuarat
Agung PSSCM UTP Kali ke-13 sesi 2011/2012, pembentangan dan penerimaan Laporan
Aktiviti PSSCM UTP sesi 2011/2012 serta pembentangan dan meluluskan Laporan
Penyata Kewangan PSSCM UTP sesi 2011/2012.
Setelah
melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan selama sepenggal,
akhirnya barisan Exco-exco PSSCM UTP bagi sesi 2011/2012 yang diketuai oleh
Saudara Nor Fakhrul bin Mohd Noor telah meletakkan jawatan secara rasminya pada
jam 4.20 petang. Selesailah tanggungjawab dan lepaslah beban yang dipikul
seiring dengan amanah serta kepercayaan yang telah diberikan pada mesyuarat
agung lepas.
Kemudian,
mesyuarat diteruskan dengan agenda terpenting iaitu sesi pemilihan Ahli
Jawatankuasa PSSCM UTP bagi sesi 2012/2013. Berikut merupakan senarai nama
mereka yang telah diberi kepercayaan untuk memegang tampuk kepimpinan PSSCM UTP
bagi sesi 2012/2013:
Presiden:
Nor Fakhrul bin Mohd Noor
Timbalan
Presiden: Firdaus bin Roslan
Setiausaha:
Nadzirah binti Musa
Bendahari:
Norain binti Hamzah
Ketua
Penerangan: Amirul Asyraf bin Samsuri
Penolong
Setiausaha: Muhammad Syazwan bin Rosley
Exco
Perhubungan dan Lawatan: Nur Syahirah binti Nazri
Exco Peralatan dan Harta: Mohammad Azim
Tarmizi bin Ya’ccob
Exco Kebajikan dan Muamalat: Mas Idayu
binti Moh Saleh
Exco Demonstrasi: Mohamad Khairul Zulfadly
bin Mohd Izham
Exco Promosi dan Publisiti: Muhammad
Syamim bin Hj Hamzah
Selepas
penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan PSSCM UTP Kali ke-14 sesi 2012/2013, semua
ahli bersama-sama berganding bahu melakukan persiapan Majlis Berbuka Puasa
Perdana PSSCM UTP. Sikap saling bekerjasama sesama ahli tidak kira Tenaga
Pengajar, Ahli Tamat ataupun ahli yang sedang belajar bagai aur dengan
tebing telah lama diterapkan dalam PSSCM
UTP ini. Persiapan merangkumi
kelengkapan makanan, tempat, dan susun atur majlis dilakukan dengan penuh teliti.
Majlis Berbuka
Puasa Perdana PSSCM UTP telah diadakan di Perkarangan Kafe Paprika, Poket D,
UTP bermula jam 6.30 petang. Majlis dimulakan dengan ketibaan tetamu-tetamu
kehormat dan bacaan doa. Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Tuan Haji
Mohamed Noor Rosli bin Baharom merangkap Penasihat I PSSCM UTP dan Encik Mohd Afizal bin Abdul Razak, Penasihat
II PSSCM UTP.
Di samping itu,
tetamu kehormat yang turut memeriahkan majlis ialah Encik Firdaus Farid bin Abd
Rashid iaitu Ahli Jawatankuasa (AJK) PSSCM Cawangan Perak (Baru), Encik Mohd
Azuwan bin Maoinser merangkap Penolong Setiausaha I PSSCM Cawangan Perak (Baru)
dan juga diserikan dengan kehadiran Encik Khairul Hazwan bin Abdul Rahman, Alumni
PSSCM UTP.
Majlis ini telah
dirasmikan oleh Encik Abdul Halim bin Saad merangkap Yang Di Pertua PSSCM
Cawangan Perak (Baru) dan juga merupakan penyelia kelas latihan PSSCM UTP.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya
kepada barisan kepimpinan baru PSSCM UTP yang dilantik bagi sesi 2012/2013.
Ujar beliau lagi, pemimpin yang baik ialah pemimpin yang melaksanakan
tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik walaupun menghadapi pelbagai
rintangan dan halangan sepanjang menjadi seorang pemimpin. Cabaran yang sukar
dan pelbagai halangan adalah asam garam
dalam perjalanan menjadi seorang pemimpin yang disegani oleh kawan dan lawan.
Antara objektif
utama Majlis Berbuka Puasa PSSCM UTP ialah meraikan ahli-ahli PSSCM UTP yang
bakal menamatkan pelajaran mereka di UTP pada semester ini dan juga mereka yang
bakal menjadi graduan pada semester hadapan. Seramai 14 ahli PSSCM UTP telah
menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh Encik Abdul Halim bin Saad.
Majlis ini adalah sebagai salah satu cara untuk menunjukkan penghargaan kepada
mereka yang telah menyumbangkan bakti sama ada dari segi masa, wang, tenaga
mahupun buah fikiran. Sesungguhnya, kehadiran mereka ini telah banyak membantu
menaikkan nama persatuan sebagai salah sebuah persatuan yang disegani di UTP.
Para hadirin telah
dihiburkan dengan tayangan montaj setelah selesai menjamu selera dengan dengan
hidangan lazat yang telah disediakan. Satu montaj juga ditayangkan khas untuk
mereka yang bakal menamatkan pengajian di UTP yang memaparkan kenangan-kenangan
manis sepanjang mereka melibatkan diri dalam PSSCM UTP. Semoga memori yang
tercipta sesama kita akan tetap diingati sebagai kenangan indah yang tidak akan
luput dimamah usia. Kenangan itu kadang kala terlalu pahit untuk diredah tetapi
terlalu manis untuk dikenang dan hidup ini tidak selalunya indah tetapi yang
indah itu tetap hidup dalam kenangan.
Akhir kata, kepada
mereka yang bakal menjadi graduan pada semester ini dan juga pada semester
hadapan, kami semua mengucapkan selamat maju jaya dan selamat menempuhi alam
pekerjaan yang ternyata memerlukan ketahanan mental dan fizikal. Jadikanlah
pengalaman, ilmu dan kemahiran ihsaniah yang diperoleh sepanjang berada di UTP
amnya dan PSSCM UTP khususnya sebagai satu panduan dalam menghadapi cabaran dan
halangan di luar sana kelak. Kami, ahli-ahli PSSCM UTP sentiasa mendoakan
kejayaan dan kesejahteraan kalian walau di mana jua kalian berada. Insya-ALLAH.
Kepada barisan
kepimpinan baru PSSCM UTP bagi sesi 2012/2012, tahniah dan selamat menjalankan
tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik-baiknya. Harapan kami, ahli-ahli
PSSCM UTP semoga barisan kepimpinan yang baru ini dapat terus memajukan PSSCM
UTP agar terus bertapak kukuh di bumi UTP dan seterusnya mengharumkan nama baik
PSSCM bukan sahaja di peringkat Universiti malah di peringkat negeri dan
kebangsaan. Insya-ALLAH.
0 komen:
Post a Comment