Showing posts with label Negeri. Show all posts
Showing posts with label Negeri. Show all posts

Majlis Ijazah UTP 27



                Sabtu,9 Mac 2013 – Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Universiti Teknologi Petronas telah berjaya mengadakan sebuah program iaitu Majlis Ijazah Asas bagi pelajar-pelajar yang baru mendaftarkan diri di dalam persatuan. Program ini diadakan di Universiti Teknologi Petronas (UTP) bertempat di Bilik Syarahan 8. Program ini bermula daripada pukul 2.30 petang sehingga 6.30 petang dan kemudian bersambung pula pada pukul 8.30 malam sehingga pukul 10.30 malam.

                Selain daripada pelajar-pelajar dari UTP, program ini dihadiri oleh pelajar-pelajar daripada IPT dari seluruh negeri Perak. Ahli jawatankuasa penggerak terdiri daripada ahli PSSCM UTP dan diketuai oleh Nur Syahirah Binti Nazri. Program ini adalah program wajib untuk sesiapa sahaja yang ingin menyertai dan menjadi ahli baru PSSCM.

                Guru Utama PSSCM, YM Datuk Hj. Maideen bin Kadir Shah menghadiri program ini untuk mengijazahkan pelajar-pelajar yang baru mendaftarkan diri sebagai ahli PSSCM. YDP PSSCM Cawangan Perak, En Abdul Halim bin Saad, beserta beberapa AJK PSSCM Cawangan Perak turut sama hadir bagi memeriahkan program ini.

                Iltizamnya, pelajar-pelajar yang berjaya didaftarkan untuk menjadi ahli PSSCM adalah hasil usaha ahli Jawatankuasa Pengambilan Ahli Baru UTP 27 PSSCM UTP. Mereka bertungkus-lumus untuk mempromosikan PSSCM kepada pelajar-pelajar UTP. Seramai 27 orang pelajar UTP telah berjaya diijazahkan pada tarikh tersebut dan menjadi ahli PSSCM dengan rasminya. Adalah diharapkan agar setiap ahli kelas Latihan UTP 27 akan berusaha mempelajari Silat Cekak hingga ke peringkat Tamat dan bersijil, dan terus menyumbang bakti dalam PSSCM pada masa akan datang.

Ujian Sijil Rendah PSSCM 2012


Bermula dari peringkat asas ke peringkat jatuh, seterusnya ke peringkat potong sehinggalah ke peringkat umum, semuanya telah dilalui oleh kelas latihan UTP 20, UTP 21, UTP 22, dan UTP 23. Kini tibalah masa mereka untuk mengaplikasikan segala ilmu yang dipelajari sepanjang peringkat tersebut untuk melalui peringkat seterusnya, iaitu Ujian Sijil Rendah(USR). Pemarkahan USR terbahagi kepada dua bahagian, iaitu berdasarkan UJian Teori dan Ujian Praktikal. Sijil diberi kepada penuntut yang lulus ujian tersebut dan proses penyerahan sijil tersebut akan diadakan di Majlis Konvesyen PSSCM.

Pada tahun ini, PSSCM UTP telah menghantar calon seramai 18 orang, yang terdiri daripada kelas UTP 20, UTP 21, UTP 22, dan UTP 23. Jumlah kali ini agak ramai jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya. Jumlah yang agak ramai ini seharusnya menjadi kelebihan kepada calon USR PSSCM UTP kali ini untuk bersama-sama menempuhi kelas kemahiran, iaitu kelas persedian sebelum menempuhi USR.

‘Sungguhpun begitu hendaklah tabah
InsyaAllah mendapat faedah’

Berikut adalah petikan Pantun Silat Cekak yang dicipta YM Almarhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad. Rangkap tersebut perlu dihayati sepenuhnya oleh calon USR PSSCM UTP, dalam mengharungi kelas kemahiran . Kelas kemahiran bertujuan memantapkan lagi calon-calon USR dari segi pengaplikasian Silat Cekak, menggunakan ilmu yang dipelajari dari peringkat asas hingga ke peringkat umum. Ketabahan, kesungguhan dan kecekalan hati amat diperlukan dalam mengharungi dugaan sepanjang kelas tersebut berlangsung. Kelas kemahiran pada tahun ini turut disertai oleh ahli-ahli PSSCM dari cawangan Perak dan IPT Perak.

Ketua Jurulatih kelas kemahiran pada tahun ini adalah Encik Mohd Kassim Bin Abdul Kadir. Jasa beliau sebagai ketua jurulatih amat besar dalam membantu mempersiapkan calon-calon menghadapi USR nanti.  Ribuan terima kasih diucapkan kepada ketua jurulatih khususnya dan jurulatih-jurulatih amnya sepanjang penglibatan mereka membantu calon-calon USR. Sepanjang bulan Mac, kelas kemahiran berlangsung di Padang Futsal UTP, dan ketua kelas kemahiran kali ini adalah saudara Tun Amsyar Haziq Bin Mohamad. Kelas teori untuk USR pula diadakan di UiTM Seri Iskandar, pada tarikh 16 Mei 2012.

‘Usaha yang termampu. Yang tak mampu, serah dekat Dia’
-YM Guru Utama

Setelah membuat persediaan dari segi teori dan praktikal selama hampir dua bulan, kini tibalah masa yang dinanti-nantikan. Pada tarikh 16 Mei 2012, calon USR PSSCM UTP telah menduduki Ujian Teori Sijil Rendah PSSCM, yang bertempat di Fakulti SeniBina Perancangan dan Ukur, UiTM Seri Iskandar, Perak.


Calon USR PSSCM Cawangan Perak(Baru) tekun menjawab soalan yang diberikan

   Akhirnya tibalah masa yang dinanti-nantikan, iaitu Ujian Praktikal Sijil Rendah Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia. Ujian praktikal untuk calon USR Cawangan Perak(Baru) pada tahun ini bertempat di Rumah Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Cawangan Negeri Sembilan. Kesemua calon berkumpul di Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah(KUISAS) pada malam sebelum hari ujian dan bertolak ke Negeri Sembilan menaiki bas yang disediakan oleh KUISAS.


Papan tanda PSSCM Cawangan Negeri Sembilan


  Tanggal 20 Mei 2012 menjelma jua. Hari yang akan menjadi kayu pengukur atas segala usaha dan penat lelah selama ini. Ujian Praktikal Sijil Rendah Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia berlangsung. Beruniform lengkap, bertanjak serta bercapal menjadi pakaian wajib kepada calon USR. Berikut adalah beberapa gambar yang memaparkan suasana sepanjang hari kejadian.


 Riak wajah calon USR PSSCM Cawangan Perak(Baru) sebelum menduduki ujian praktikal



Lagi gambar calon USR PSSCM Cawangan Perak(Baru)



Sesi pemanasan badan bersama-sama calon-calon USR PSSCM dari cawangan Melaka dan Johor



Calon USR PSSCM diberi taklimat sebelum menduduki ujian praktikal



Naib Yang Di Pertua PSSCM Cawangan Perak(Baru), Encik Budi Alfahmi Bin Mohd Zaid (kiri), bergambar bersama  Yang Di Pertua PSSCM Cawangan Johor, Encik Sazali bin Samsudin, selaku Ketua Juri



 Segelintir daripada tenaga pengajar PSSCM yang menjadi 'tester' Ujian Praktikal   



 Sebahagian daripada AJK Pusat PSSCM dan beberapa AJK Cawangan yang hadir pada hari kejadian 



              Jutaan terima kasih ditujukan kepada ahli PSSCM Cawangan Negeri Sembilan kerana telah berusaha sebaik mungkin untuk menyediakan kemudahan yang termampu untuk menjayakan Ujian Praktikal Sijil Rendah PSSCM. Jasa dan pengorbanan yang dilakukan adalah penting dalam usaha membentuk ahli-ahli PSSCM khususnya dan bangsa Melayu amnya supaya beriman dan bersatu untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara.

              Sekalung tahniah juga diucapkan kepada calon USR pada tahun ini kerana telah berjaya melepasi USR. Pastinya masing-masing ada kenangan tersendiri di dalam petak ujian, yang menjadi iktibar serta pedoman kepada diri. Jadikan kenangan itu sebagai pemangkin untuk terus menimba ilmu, dan terus bersama-sama dalam perjuangan membangunkan persatuan ini. Masih banyak yang perlu dilalui di dalam perjuangan ini. Sifat tabah dan jangan cepat luntur dalam perjuangan harus dikekalkan. Syabas diucapkan.



 Calon USR Cawangan Perak(Baru) bergambar kenang-kenangan di KUISAS



'Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjagamu dan membantumu cemerlang di dunia dan di akhirat. Ia juga amalan para nabi, rasul dan orang soleh.'
-Imam Syafie



                

Pra Karnival Wajadiri di UTP


 Pada 7 Februari 2012 bersamaan hari selasa, satu program Pra KWD telah diadakan sebagai langkah persediaan bagi kontinjen Perak. Pra KWD tersebut telah berjaya dilangsungkan di UTP. Pra KWD dimulakan pada jam 10 malam. Barisan AJK Cawangan Perak yang diketuai oleh Encik Zabidi Azizi bin Abu Kasim atau lebih mesra dengan panggilan Abg Zack telah dijemput hadir bagi memerhati dan memberi komen serta kata-kata semangat kepada semua peserta daripada IPT PSSCM Perak.


Saudara Zafar mengepalai Krew JP PSSCM UTP bagi mengambil video dan gambar pada malam tersebut. Bergaya sungguh beliau...


Saudara Presiden iaitu Nor Fakhrul yang juga merupakan pengurus bagi skuad wanita UTP bersama saudara Syamim yang merupakan pengurus bagi skuad lelaki UTP.
Mereka berdua merupakan peserta KWD bagi skuad lelaki UTP bagi tahun lepas.
 

Selesai Pra KWD, pesilat dikumpulkan bagi mendengar komen dan taklimat daripada barisan AJK Cawangan Perak yang hadir.


Khusyuk betul dengar taklimat. Mereka berharap dapat bawa balik piala kejuaraan pulang ke Perak.


Skuad KWD lelaki dan wanita UTP bergambar setelah selesai Pra KWD. Dah buat demo baru ada selera nak ambil gambar. Sebelum mula masing-masing berdebar.


Aktiviti wajib... Lepas habis, semua pergi makan di restoran lima bintang iaitu Sithick wal Farouqi...

Sambutan Hari Tenaga Pengajar PSSCM di Universiti Teknologi PETRONAS

Pada hari Ahad bersamaan 27 November 2011 / 1 Muharram 1433 H  yang lalu telah diadakan Sambutan Hari Tenaga Pengajar PSSCM yang mana dianjurkan pada setiap 1 Muharram bagi tahun Hijrah. Sambutan Hari Tenga Pengajar (SHTP) pada tahun ini telah dilangsungkan di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dengan penuh jayanya. Seawal jam 11 malam pada hari Sabtu AJK-AJK bagi SHTP telah mula menerima kedatangan para tetamu
Persiapan yang dilakukan diatas pentas Dewan Canselor UTP

Rekaan Backdrop yang direka oleh AJK Teknikal Program dan dugunapakai sewaktu SHTP. 




AJK-AJK berkumpul selepas program.


Para Hulubalang yang mengiringi Perarakan Utama masuk ke dewan.

Timbalan Naib Canselor UTP dan juga Penasihat 1 PSSCM UTP menjadi Perasmi bagi SHTP tiba di
perkaeangan Dewan Canselor UTP.


 Seawal jam 11 malam pada hari Sabtu AJK-AJK bagi SHTP telah mula menerima kedatangan para tetamu
Ketibaan YMGU Datuk haji Maideen bin Kadir Shah di perkarangan Dewan Canselor UTP.

YMGU Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah mengetuai majlis Berzanji, Marhaban, Qasidah Burdah dan Berselawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W.



Pembesar-pembesar, AJK-AJK Pusat dan YDP-YDP cawangan duduk diatas pentas pada sesi petang.

Keadaan ditempat duduk barisan Tenaga Pengajar PSSCM sewaktu majlis berlangsung.

       
PERJALANAN MAJLIS SAMBUTAN HARI TENAGA PENGAJAR PSSCM.

Majlis bermula pada jam 7 pagi dengan kehadiran Para Tenaga Pengajar masuk ke Dewan Canselor UTP dimana tempat berlangsungnya SHTP. Pengacara Majlis pada sesi pagi hari tersebut merupakan mantan Presiden PSSCM UTP iaitu saudara Muhammad Khairi bin Roslim. Pada jam 9 pagi, perarakan utama yang membawa Guru Utama PSSCM iaitu Y.M. Datuk haji Maideen bin Kadir Shah masuk ke dalam dewan diiringi Pembesar-Pembesar Cekak dan Para Hulubalang. Upacara pada pagi 1 Muharram yang mulia itu telah dimulakan dengan berzanji, marhaban dan qasidah burdah. Perasmi untuk SHTP merupakan Naib Canselor UTP yang juga merupakan penasihat PSSCM UTP yang telah banyak membantu pergerakan PSSCM UTP sepanjang di bumi UTP ini. Upacara pada sesi pagi berakhir pada jam 12.30 tengahari dan disambung pula pada jam 2 petang yang mana sesi petang ini diambil alih oleh Ahli Lembaga Pelajaran dan Tatatertib (LPT) PSSCM. Majlis Sambutan Hari Tenaga Pengajar PSSCM berakhir pada jam 6.15 petang. Majlis SHTP telah berjalan dengan baik hasil kerjasama dalam kalangan AJK Penggerak SHTP. Sekalung tahniah dan ucapan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam usaha melancarkan Majlis Sambutan Hari Tenaga pengajar PSSCM pada 1 Muharram 1433 H.

PERJUMPAAN KELAS KEMAHIRAN KELAS LATIHAN IBU PEJABAT NEGERI PERAK KALI KE-2

26 Februari 2011, Universiti Teknologi PETRONAS – Satu Perjumpaan Ahli Kelas Kemahiran Kelas Latihan Ibu Pejabat Negeri Perak Kali ke-2 telah diadakan di Dewan Kuliah D1, Poket D, UTP. Perjumpaan tersebut dihadiri oleh ahli-ahli kelas kemahiran yang terdiri daripada ahli-ahli PSSCM UTP, UiTM Perak, KISDAR dan juga Changkat Lada.



Perjumpaan tersebut bermula pada jam 3.00 petang yang dipengerusikan oleh Encik Zabidi Azizi bin Abu Kassim, selaku Ketua Jurulatih Kelas Kemahiran Negeri Perak. Sesi penerangan kelas kemahiran telah disampaikan oleh Encik Abdul Halim bin Saad, selaku Ketua Pengurusan Kelas Latihan Ibu Pejabat PSSCM Negeri Perak.



Alhamdu Lillah, perjumpaan tersebut berjalan dengan lancar dan berakhir pada jam 6.00 petang. Diharapkan agar segala perkongsian dan pengulasan yang disampaikan pada hari tersebut diberikan perhatian oleh semua ahli kelas kemahiran dan dapat diaplikasikan untuk menghadapi Ujian Sijil Rendah yang mendatang. Akhir kata, selamat menghadapi USR dan semoga berjaya untuk semua.



Majlis Makan Malam Sambutan 10 Tahun PSSCM IPT Perak

23 Okt 2010, Dewan Serbaguna UTP - Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia telah berjaya menganjurkan "Majlis Makan Malam Sambutan 10 Tahun PSSCM IPT Perak". Majlis makan malam ini merupakan penganjuran bersama PSSCM UTP, PSSCM UiTM Perak dan KSSCM PUO sempena dengan sambutan 10 tahun penubuhan PSSCM di IPT Perak iaitu, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Teknologi Mara, dan Politeknik Ungku Omar.



Majlis ini telah dirasmikan oleh Encik Roslin Bin Ali Omar, Setiausaha Agong Persatuan Seni SIlat Cekak Malaysia. Tetamu kehormat yang turut hadir adalah Tuan Haji Mohamed Noor Rosli Bin Baharom, Pengarah Jabatan Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar UTP, En. Faizal bin Mohd Yusof, Ahli Jawatankuasa Pusat,dan Encik Abdul Halim Bin Saad, Ketua Pengurusan Kelas Latihan Ibu Pejabat Negeri Perak. 

Seramai 240 orang peserta yang hadir pada malam tersebut dan seramai 80 orang adalah alumni daripada PSSCM UTP, PSSCM UiTM Perak, dan KSSCM PUO.


Sepanjang majlis ini berlangsung, majlis diserikan dengan persembahan demonstrasi bermuzik daripada PSSCM UiTM dan sketsa daripada KSSCM PUO.

Sempena dengan majlis makan malam ini juga, Tuan Haji Mohamed Noor Rosli bin Baharom, selaku Penasihat I PSSCM UTP telah menerima Anugerah Khas Sambutan 10 Tahun PSSCM IPT Perak. Anugerah ini adalah sebagai penghargaan di atas jasa dan bakti yang telah dicurahkan kepada PSSCM UTP semenjak awal penubuhan PSSCM UTP pada tahun 1999.


Pihak PSSCM UTP mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang memberi kerjasama untuk menjayakan majlis yang julung kali diadakan.

Demonstrasi Pengambilan Ahli Baru Kelas UiTM 24

2 Ogos 2010, UiTM Seri Iskandar - Skuad demonstrasi PSSCM UTP telah bergabung bersama-sama skuad demonstrasi PSSCM UiTM Perak untuk menjayakan Majlis Demonstrasi dan Penerangan Pengambilan Ahli Baru UiTM 24 yang bertempat di gelanggang bola keranjang UiTM Seri Iskandar.


Pada malam tersebut, skuad demonstrasi gabungan UTP dan UiTM Seri Iskandar telah diketuai oleh saudara Sholleh Cahyoadi manakala sesi penerangan telah disampaikan oleh Encik Mohd Zabidi Azizi, salah seorang AJK Pengurusan Kelas Latihan Ibu Pejabat Negeri Perak.

Sebaik sahaja demonstrasi penerangan tamat, majlis diteruskan dengan persembahan demonstrasi bermuzik.


Majlis pada malam tersebut telah menarik minat ramai mahasiswa dan mahasiswi UiTM Seri Iskandar.

Alhamdu Lillah, demonstrasi tersebut telah berlangsung dengan jayanya tanpa sebarang masalah.

Program Interaksi Bersama PSSCM IPT Perak Kali Pertama

27 Mac 2010, UiTM Seri Iskandar - Program Interaksi bersama IPT PSSCM Perak telah diadakan di UiTM Kampus Seri Iskandar pada 27 Mac 2010 yang lalu.


Program Interaksi adalah salah satu aktiviti wajib PSSCM UTP bagi setiap semester.

Program Interaksi kali ini lebih istimewa setelah digabungkan ketiga-tiga PSSCM IPT Perak iaitu KSSCM PUO (Politeknik Premier Ungku Omar), PSSCM UiTM Seri Iskandar dan PSSCM UTP. 


Tujuan Program Interaksi Bersama ini diadakan adalah untuk memperkenalkan PSSCM (aspek Perguruan, Persatuan dan Persilatan) kepada ahli-ahli baru serta mengeratkan hubungan sesama ahli antara IPT Perak.

Program ini telah berlangsung di UiTM Seri Iskandar, Perak selama tiga hari dan dua malam. Sepanjang program tersebut, pelbagai aktiviti telah diadakan bertujuan untuk merapatkan hubungan sesama ahli serta memberikan kefahaman kepada mereka tentang persatuan ini.


Selain itu, setiap aktiviti juga mengandungi objektif dan matlamat yang tersendiri seperti menerapkan unsur-unsur persahabatan, kerjasama, kreativiti dan juga kecekapan membuat keputusan yang tepat.

Memandangkan keadaan cuaca yang tidak begitu mengizinkan, kebanyakan aktiviti dilaksanakan di dalam dewan. Namun begitu, jelas kelihatan kesungguhan yang dipamerkan oleh peserta program ini dalam melaksanakan setiap tugasan yang diberikan.

Walaupun penat dengan aktiviti yang dijalankan, para peserta masih lagi mampu tersenyum dan memberikan kerjasama yang sangat baik dalam menjayakan program interaksi pada kali ini.


Pada hari ketiga, satu majlis perasmian penutup telah diadakan dan telah dirasmikan oleh Encik Mohamad Hafiz Bin Mohamad Fadzil, Ahli Jawatankuasa (AJK) Pengurusan Kelas Latihan Ibu Pejabat Negeri Perak. 


Diharapkan agar program anjuran bersama PSSCM IPT Perak seperti ini dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang bagi mengeratkan lagi hubungan antara ahli-ahli PSSCM IPT Perak khasnya dan PSSCM amnya.