Penghijrahan kaum Muslimin yang dipimpin oleh
Rasulullah s.a.w dari kota Mekah ke kota Madinah adalah merupakan satu dimensi
baru kepada dakwah Islamiah dan seterusnya penghayatan kepada ajaran Islam yang
sebenar. Penghijrahan umat Islam dari suasana yang lama iaitu Mekah kepada satu
suasana baru iaitu Madinah adalah detik terpenting kepada pembaharuan sistem
nilai dan hidup manusia.
Penghijrahan yang merupakan proses kematangan
penyebaran risalah Allah s.w.t ini tidak mungkin berjaya jika tidak diiringi
perubahan sikap dan prinsip umat Islam dalam berhadapan suasana baru.
Sejarah telah menukilkan bagaimana Rasulullah s.a.w
menanamkan benih-benih perpaduan, persaudaraan, tolong menolong, pengorbanan,
kesungguhan, kecintaan dan ketakwaan di dalam sanubari umat Islam ketika itu
iaitu antara golongan Muhajirin dan Ansar. Itulah unsur-unsur terpenting bagi
umat Islam ketika itu sebagai persediaan menghadapi cabaran dan ujian yang
datangnya sama ada dari kaum Musyrikin Quraisy, golongan munafik, tipu daya
iblis atau dari nafsu di dalam diri mereka sendiri.
Hijrah mengajar kita betapa
pentingnya sikap cekal di dalam diri. Kecekalan kaum Muhajirin ketika berhijrah
dengan merasai ranjau kepayahan, penderitaan, kehilangan harta dan keluarga
serta penyeksaan merupakan aset pengajaran yang amat penting dalam membentuk
jiwa yang kental kepada generasi muda masa kini. Kecekalan mereka yang
berteraskan keyakinan bahawa janji kemenangan dan pertolongan Allah s.w.t pasti
benar akhirnya berjaya merobek keangkuhan jahiliah dan menjadikan kebatilan
tersungkur hina. Berbekalkan penghayatan nilai kecekalan inilah maka barisan
pelapis umat ini berupaya cekal dan tabah dalam mengharungi cabaran alaf baru.
Kecanggihan teknologi dan kelicikan tipu daya musuh Islam serta golongan
munafik, tidak akan mampu menahan generasi ummah bangun mempertahankan Islam
sewajarnya.
Sebagai pelajar, penghijrahan adalah
lebih kepada melakukan yang lebih baik dalam proses pembelajaran kita.
Pembahagian urusan akademik dan persatuan haruslah seiring, agar tidak
terkorban salah satu daripadanya. Pengadaptasian terhadap sesuatu perubahan yang
lebih baik, harus diwujudkan agar perubahan tersebut menjadi istiqamah dan
berterusan. Mengubah sesuatu menjadi baik itu adalah dari akal fikiran kita
sendiri, maka seharusnya selalu memikirkan perubahan tersebut sebagai sesuatu
sesuatu yang relevan, dan bukan seperti ‘hangat-hangat tahi ayam sahaja’. Memetik
kata pepatah Arab, “Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik daripada
semalam, rugilah orang yang sama keadannya hari ini sama dengan semalam dan
celakalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam”.
Kesimpulannya, proses membentuk
diri ke arah yang lebih baik perlu berterusan dari hari ke hari, dan usaha yang
setimpal perlu dilakukan, dan bukan hanya ditumpukan pada ketibaan Sambutan
Maal Hijrah sahaja. Sempena Maal Hijrah 1424 kali ini, PSSCM UTP ingin
mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah. Semoga Tahun Baru Hijrah kali
membawa lebih makna kepada kita dalam mendidik diri menjadi seorang insan yang
mampu berbakti kepada agama, bangsa, dan Negara.
Artikel dipetik dan diolah daripada:
0 komen:
Post a Comment