Sejarah

Idea penubuhan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Universiti Teknologi Petronas (PSSCMUTP) tercetus apabila seorang ahli tamat PSSCM iaitu saudara Azni Suhadi Abd. Ghani menyambung pelajarannya di UTP bermula bulan Mei 1998. Beliau telah bergiat aktif dalam aktiviti-aktiviti PSSCM bersama-sama ahli dari PSSCM Universiti Sains Malaysia Kampus Cawangan Perak pada ketika itu.

Pada bulan November 1998, dua lagi ahli tamat PSSCM iaitu saudara Arif Mohd Zainudin dan saudara Ahmad Azrul Nizam Mohamad Zainal telah menyambung pelajaran mereka di UTP. Bermula dari detik itu, semangat untuk merealisasikan penubuhan PSSCM UTP semakin marak membara. 

Beberapa sesi perjumpaan telah diadakan bersama ahli-ahli tamat PSSCM lain yang berada di UTP iaitu saudara Meor Hamzah Abdullah Sani, saudari Siti Fauziah Toha @ Tohara dan saudari Noor Kamariah Abd Rahman.

Mesyuarat penubuhan PSSCM UTP secara tidak rasmi buat pertama kalinya telah diadakan pada 7 November 1998 dan hasilnya satu Jawatankuasa Penubuhan PSSCM UTP telah ditubuhkan. Melalui Jawatankuasa Penubuhan ini, beberapa siri perjumpaan dan rundingan telah diadakan antara mereka dengan pihak Bahagian Perkhidmatan Pelajar UTP (BPP UTP) yang sekarang dikenali sebagai Jabatan Perkhidmatan Dan Sokongan Pelajar (JPSP UTP). 

Susulan daripada rundingan itu, pihak Jawatankuasa Penubuhan telah menghantar Kertas Kerja Penubuhan PSSCM UTP kepada pihak BPP UTP untuk memohon kelulusan rasmi menubuhkan persatuan ini.

Setelah tiga kali menghantar kertas kerja, akhirnya pada hari Jumaat, tanggal 29 Januari 1999 bersamaan 11 Syawal 1419 Hijrah menjadi tarikh penting dalam lipatan sejarah PSSCM UTP, apabila penubuhan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Universiti Teknologi Petronas diluluskan dengan rasminya oleh pihak Bahagian Perkhidmatan Pelajar Universiti Teknologi Petronas. Aktivi pertama yang dijalankan adalah Mesyuarat Agung Tahunan kali Pertama PSSCM UTP iaitu pada 7 Februari 1999 di Kafeteria UTP.

Susulan itu, buat julung kalinya Majlis Demonstrasi dan Penerangan PSSCM telah diadakan di Dewan Serbaguna UTP pada 19 Jun 1999. Hasil dari majlis tersebut, pengambilan ahli baru telah diadakan buat pertama kalinya dan seramai 29 orang warga kampus UTP telah menjadi kumpulan perintis kepada PSSCM UTP sebagai kumpulan pertama (kelas UTP 1) yang menyambung perjuangan dan meneruskan usaha memartabatkan Seni Silat Cekak sebagai satu seni beladiri melayu asli yang “takkan lapuk dek hujan dan takkan lekang dek panas” hingga ke hari ini.