Konvekesyen PSSCM Zon Utara 2012

   Majlis Konvokesyen PSSCM Zon Utara pada tahun 2012 telah berlangsung di Universiti Teknologi Petronas pada tanggal 15 Disember 2012 bersamaan 1 Safar 1434H. Majlis tersebut bertempat di Dewan Canselor, Universiti Teknologi Petronas, iaitu dewan yang sama yang digunakan pada Sambutan Hari Tenaga Pengajar 1433H, pada tahun 2011 dan telah dirasmikan oleh YM Guru Utama PSSCM, Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah.

   Istiadat Penyampaian Sijil Silat Cekak berlangsung pada sesi pagi. Seramai 17 ahli PSSCM UTP menerima Sijil Rendah dan dua daripadanya adalah penerima Sijil (Kepujian). Mereka adalah Mohamad Khairul Zulfadly Bin Mohd Izham, daripada kelas UTP 20 dan Nur Asiah Binti Mohd Fauzi, daripada kelas UTP 23. Sesi pagi berlangsung dengan penuh istiadat sama seperti majlis konvekesyen universiti lain di seluruh dunia. Ini menunjukkan kejayaan dan standard yang telah dicapai PSSCM sepanjang 47 tahun dilahirkan ke alam nyata.

Sebahagian daripada penerima sijil daripada PSSCM UTP. Tahniah diucapkan.


   Sesi petang diteruskan lagi dengan Seminar Silat Cekak Dalam Transformasi Pendidikan Negara. Panel seminar tersebut terdiri daripada individu-individu yang arif dan berpengalaman luas dalam tajuk seminar tersebut. Panel pertama adalah Tuan Hj. Mohamad Noor Rosli B. Baharom, Timabalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, merangkap Penasihat 1 PSSCM UTP. Panel kedua adalah Dr. Roziah Bt. Abdullah, dan panel ketiga adalah Prof. Madya. Ar. Dr. Hj. Abdul Majid B. Ismail, Naib Presiden PSSCM.

   Ucapan tahniah ditujukan kepada mereka yang telah berjaya melepasi ujian sijil rendah PSSCM pada tahun 2012. Perjalanan mereka boleh dibaca di sini.. AJK Penggerak telah melaksanakan tugas dengan baik sepanjang program. Sekalung tahniah dan ucapan terima kasih diucapkan kepada semua individu sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini.

Laporan penuh boleh didapati di sini:


Menempuh Semester Baru di UTP


      Semester baharu tiba lagi. Ada baiknya kita menilai kembali tabiat belajar masing-masing di awal perjalanan ini supaya nanti kita tiba di destinasi dengan jayanya. Di awal semester, biasanya kita memasang azam yang tinggi. Mahu naikkan GPA dan CGPA serta menyesal kerana di semester lepas, ada subjek yang terkandas, yang tak tercapai gred impian, yang kurang cemerlang kerana gagal mendapatkan markah yang baik sepanjang semester. Setiap pelajar di dalam dunia ini tidak kira siapa sekali pun, pasti akan melakukan kesilapan.

      Di sini, ingin dikongsikan beberapa tips-tips untuk kita selalu menghampiri dan seterusnya mengecapi akan kejayaan itu. Asas yang paling utama ialah sentiasa mahu belajar. Keinginan untuk belajar perlu sentiasa ada kerana belajar ialah satu-satunya sebab kita menempuh sebuah perjalanan di Universiti Teknologi Petronas (UTP). Oleh kerana proses untuk mendapat ilmu itu susah dan memerlukan banyak pengorbanan, kita perlu menghormati guru/pensyarah kita dan mengasihi mereka. Hal ini kerana mereka lebih mengetahui dan fasih mengenai pembelajaran kita di sini. Tambahan lagi,ilmu itu sebenarnya bersifat mahal dan mendapatkannya bukanlah sesuatu yang mudah. Amalan datang awal ke kelas seharusnya menjadi tabiat pelajar kerana jikalau amalan datang lewat menjadi pakaian kita, kita mungkin susah untuk mendapatkan ilmu itu dengan selengkapnya. Selain itu,usaha yang berterusan walaupun sedikit adalah cara yang paling berkesan untuk kita mengekalkan ilmu itu dalam benak fikiran. Kewajiban kita dan hak tuhan ke atas hendaklah ditunaikan kerana siapalah kita tanpa diri-Nya.

      Sebenarnya,belajar bukanlah satu-satunya masalah sebagai seorang pelajar. Kewangan juga memainkan peranan penting dalam hidup kita di bumi UTP ini. Tidak kiralah pelajar yang mendapat biasiswa atau tidak,terdapat beberapa cara untuk kita mengendalikan kewangan di awal semester ini.

      Pilihan untuk menikmati makanan tengahari atau malam seharusnya di pilih mengikut kadar kemampuan kita. Janganlah mudah terpengaruh dengan kawan yang mempunyai wang simpanan yang banyak tidak kiralah sama ada makan dekat luar kampus atau di kafe sahaja. Manfaatkanlah duit untuk pembelian bahan bacaan untuk semester ini dengan sebaiknya. Tidaklah seharusnya kita mengorbankan perbelanjaan keperluan kita demi mendapatkan kemahuan kita. Kemahuan dan keperluan adalah dua benda yang amat jauh perbezaannya.

         Akhir sekali,selamat menempuh semester Januari 2013 kepada semua ahli-ahli PSSCM UTP. Sebuah pantun untuk perkongsian kita bersama.

Emak memetik bunga raya,
Diletakkannya di tepi perigi,
Kalau anda ingin berjaya,

Hijrah Sumber Kekuatan Umat




Penghijrahan kaum Muslimin yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w dari kota Mekah ke kota Madinah adalah merupakan satu dimensi baru kepada dakwah Islamiah dan seterusnya penghayatan kepada ajaran Islam yang sebenar. Penghijrahan umat Islam dari suasana yang lama iaitu Mekah kepada satu suasana baru iaitu Madinah adalah detik terpenting kepada pembaharuan sistem nilai dan hidup manusia.

Penghijrahan yang merupakan proses kematangan penyebaran risalah Allah s.w.t ini tidak mungkin berjaya jika tidak diiringi perubahan sikap dan prinsip umat Islam dalam berhadapan suasana baru.

Sejarah telah menukilkan bagaimana Rasulullah s.a.w menanamkan benih-benih perpaduan, persaudaraan, tolong menolong, pengorbanan, kesungguhan, kecintaan dan ketakwaan di dalam sanubari umat Islam ketika itu iaitu antara golongan Muhajirin dan Ansar. Itulah unsur-unsur terpenting bagi umat Islam ketika itu sebagai persediaan menghadapi cabaran dan ujian yang datangnya sama ada dari kaum Musyrikin Quraisy, golongan munafik, tipu daya iblis atau dari nafsu di dalam diri mereka sendiri.

Hijrah mengajar kita betapa pentingnya sikap cekal di dalam diri. Kecekalan kaum Muhajirin ketika berhijrah dengan merasai ranjau kepayahan, penderitaan, kehilangan harta dan keluarga serta penyeksaan merupakan aset pengajaran yang amat penting dalam membentuk jiwa yang kental kepada generasi muda masa kini. Kecekalan mereka yang berteraskan keyakinan bahawa janji kemenangan dan pertolongan Allah s.w.t pasti benar akhirnya berjaya merobek keangkuhan jahiliah dan menjadikan kebatilan tersungkur hina. Berbekalkan penghayatan nilai kecekalan inilah maka barisan pelapis umat ini berupaya cekal dan tabah dalam mengharungi cabaran alaf baru. Kecanggihan teknologi dan kelicikan tipu daya musuh Islam serta golongan munafik, tidak akan mampu menahan generasi ummah bangun mempertahankan Islam sewajarnya.

Sebagai pelajar, penghijrahan adalah lebih kepada melakukan yang lebih baik dalam proses pembelajaran kita. Pembahagian urusan akademik dan persatuan haruslah seiring, agar tidak terkorban salah satu daripadanya. Pengadaptasian terhadap sesuatu perubahan yang lebih baik, harus diwujudkan agar perubahan tersebut menjadi istiqamah dan berterusan. Mengubah sesuatu menjadi baik itu adalah dari akal fikiran kita sendiri, maka seharusnya selalu memikirkan perubahan tersebut sebagai sesuatu sesuatu yang relevan, dan bukan seperti ‘hangat-hangat tahi ayam sahaja’. Memetik kata pepatah Arab, “Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam, rugilah orang yang sama keadannya hari ini sama dengan semalam dan celakalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam”.

Kesimpulannya, proses membentuk diri ke arah yang lebih baik perlu berterusan dari hari ke hari, dan usaha yang setimpal perlu dilakukan, dan bukan hanya ditumpukan pada ketibaan Sambutan Maal Hijrah sahaja. Sempena Maal Hijrah 1424 kali ini, PSSCM UTP ingin mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah. Semoga Tahun Baru Hijrah kali membawa lebih makna kepada kita dalam mendidik diri menjadi seorang insan yang mampu berbakti kepada agama, bangsa, dan Negara.

Artikel dipetik dan diolah daripada: