Pengambilan Ahli Baru UTP 26

Keratan akhbar KOSMO.



     Dua beranak, amah ditikam perompak? Jenayah, seperti yang kita dapat lihat sekarang semakin berleluasa. Pihak berkuasa mampu untuk mengurangkan jenayah tersebut, namun mampukah mereka untuk sentiasa berada di sisi kita, untuk menjaga keselamatan kita? Mahukah kita menjadi salah seorang daripada mangsa tersebut?

    Maka dengan itu, persiapkanlah diri kita dengan seni bela diri yang terbaik, seni yang diamalkan oleh nenek moyang kita, iaitu seni silat. Silat bukanlah sekadar seni warisan negara, tetapi ia juga berfungsi sebagai ilmu yang sememangnya perlu dimiliki oleh setiap insan. Selain mempertahankan diri, seni silat juga mampu membentuk disiplin dan moral seseorang. Perkara ini dapat dilihat melalui thesis seorang pelajar dari Universiti Sains Malaysia yang mengatakan, "Perguruan silat juga mendokong kehendak adat dan etika perhubungan antara guru dan rakan sebaya ‘seperguruan’ berpandukan sistem kod etika dan disiplin."


     Oleh itu, untuk semester Mei 2012, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Universiti Teknologi Petronas (PSSCM UTP) telah mengadakan program pengambilan ahli baru.


Klik gambar untuk melihat dengan lebih jelas.



Klik gambar untuk melihat dengan lebih jelas.

Pengambilan masih terbuka sehingga 30hb Jun 2012. 'Biar mati anak, jangan mati adat'. Jom ramai-ramai kita pelajari Seni Silat Cekak Malaysia!

Ujian Sijil Rendah PSSCM 2012


Bermula dari peringkat asas ke peringkat jatuh, seterusnya ke peringkat potong sehinggalah ke peringkat umum, semuanya telah dilalui oleh kelas latihan UTP 20, UTP 21, UTP 22, dan UTP 23. Kini tibalah masa mereka untuk mengaplikasikan segala ilmu yang dipelajari sepanjang peringkat tersebut untuk melalui peringkat seterusnya, iaitu Ujian Sijil Rendah(USR). Pemarkahan USR terbahagi kepada dua bahagian, iaitu berdasarkan UJian Teori dan Ujian Praktikal. Sijil diberi kepada penuntut yang lulus ujian tersebut dan proses penyerahan sijil tersebut akan diadakan di Majlis Konvesyen PSSCM.

Pada tahun ini, PSSCM UTP telah menghantar calon seramai 18 orang, yang terdiri daripada kelas UTP 20, UTP 21, UTP 22, dan UTP 23. Jumlah kali ini agak ramai jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya. Jumlah yang agak ramai ini seharusnya menjadi kelebihan kepada calon USR PSSCM UTP kali ini untuk bersama-sama menempuhi kelas kemahiran, iaitu kelas persedian sebelum menempuhi USR.

‘Sungguhpun begitu hendaklah tabah
InsyaAllah mendapat faedah’

Berikut adalah petikan Pantun Silat Cekak yang dicipta YM Almarhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad. Rangkap tersebut perlu dihayati sepenuhnya oleh calon USR PSSCM UTP, dalam mengharungi kelas kemahiran . Kelas kemahiran bertujuan memantapkan lagi calon-calon USR dari segi pengaplikasian Silat Cekak, menggunakan ilmu yang dipelajari dari peringkat asas hingga ke peringkat umum. Ketabahan, kesungguhan dan kecekalan hati amat diperlukan dalam mengharungi dugaan sepanjang kelas tersebut berlangsung. Kelas kemahiran pada tahun ini turut disertai oleh ahli-ahli PSSCM dari cawangan Perak dan IPT Perak.

Ketua Jurulatih kelas kemahiran pada tahun ini adalah Encik Mohd Kassim Bin Abdul Kadir. Jasa beliau sebagai ketua jurulatih amat besar dalam membantu mempersiapkan calon-calon menghadapi USR nanti.  Ribuan terima kasih diucapkan kepada ketua jurulatih khususnya dan jurulatih-jurulatih amnya sepanjang penglibatan mereka membantu calon-calon USR. Sepanjang bulan Mac, kelas kemahiran berlangsung di Padang Futsal UTP, dan ketua kelas kemahiran kali ini adalah saudara Tun Amsyar Haziq Bin Mohamad. Kelas teori untuk USR pula diadakan di UiTM Seri Iskandar, pada tarikh 16 Mei 2012.

‘Usaha yang termampu. Yang tak mampu, serah dekat Dia’
-YM Guru Utama

Setelah membuat persediaan dari segi teori dan praktikal selama hampir dua bulan, kini tibalah masa yang dinanti-nantikan. Pada tarikh 16 Mei 2012, calon USR PSSCM UTP telah menduduki Ujian Teori Sijil Rendah PSSCM, yang bertempat di Fakulti SeniBina Perancangan dan Ukur, UiTM Seri Iskandar, Perak.


Calon USR PSSCM Cawangan Perak(Baru) tekun menjawab soalan yang diberikan

   Akhirnya tibalah masa yang dinanti-nantikan, iaitu Ujian Praktikal Sijil Rendah Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia. Ujian praktikal untuk calon USR Cawangan Perak(Baru) pada tahun ini bertempat di Rumah Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Cawangan Negeri Sembilan. Kesemua calon berkumpul di Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah(KUISAS) pada malam sebelum hari ujian dan bertolak ke Negeri Sembilan menaiki bas yang disediakan oleh KUISAS.


Papan tanda PSSCM Cawangan Negeri Sembilan


  Tanggal 20 Mei 2012 menjelma jua. Hari yang akan menjadi kayu pengukur atas segala usaha dan penat lelah selama ini. Ujian Praktikal Sijil Rendah Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia berlangsung. Beruniform lengkap, bertanjak serta bercapal menjadi pakaian wajib kepada calon USR. Berikut adalah beberapa gambar yang memaparkan suasana sepanjang hari kejadian.


 Riak wajah calon USR PSSCM Cawangan Perak(Baru) sebelum menduduki ujian praktikal



Lagi gambar calon USR PSSCM Cawangan Perak(Baru)



Sesi pemanasan badan bersama-sama calon-calon USR PSSCM dari cawangan Melaka dan Johor



Calon USR PSSCM diberi taklimat sebelum menduduki ujian praktikal



Naib Yang Di Pertua PSSCM Cawangan Perak(Baru), Encik Budi Alfahmi Bin Mohd Zaid (kiri), bergambar bersama  Yang Di Pertua PSSCM Cawangan Johor, Encik Sazali bin Samsudin, selaku Ketua Juri



 Segelintir daripada tenaga pengajar PSSCM yang menjadi 'tester' Ujian Praktikal   



 Sebahagian daripada AJK Pusat PSSCM dan beberapa AJK Cawangan yang hadir pada hari kejadian 



              Jutaan terima kasih ditujukan kepada ahli PSSCM Cawangan Negeri Sembilan kerana telah berusaha sebaik mungkin untuk menyediakan kemudahan yang termampu untuk menjayakan Ujian Praktikal Sijil Rendah PSSCM. Jasa dan pengorbanan yang dilakukan adalah penting dalam usaha membentuk ahli-ahli PSSCM khususnya dan bangsa Melayu amnya supaya beriman dan bersatu untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara.

              Sekalung tahniah juga diucapkan kepada calon USR pada tahun ini kerana telah berjaya melepasi USR. Pastinya masing-masing ada kenangan tersendiri di dalam petak ujian, yang menjadi iktibar serta pedoman kepada diri. Jadikan kenangan itu sebagai pemangkin untuk terus menimba ilmu, dan terus bersama-sama dalam perjuangan membangunkan persatuan ini. Masih banyak yang perlu dilalui di dalam perjuangan ini. Sifat tabah dan jangan cepat luntur dalam perjuangan harus dikekalkan. Syabas diucapkan.



 Calon USR Cawangan Perak(Baru) bergambar kenang-kenangan di KUISAS



'Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjagamu dan membantumu cemerlang di dunia dan di akhirat. Ia juga amalan para nabi, rasul dan orang soleh.'
-Imam Syafie



                

Majlis Makan Malam dan Penghargaan Semester Januari 2012


Assalamualaikum w.b.t. 

     Alhamdu Lillah, pada tanggal 28 April 2012 yang lepas, PSSCM UTP telah berjaya mengadakan aktiviti tahunan kami iaitu Majlis Makan Malam dan Penghargaan Semester Januari 2012 dengan jayanya. Objektif utama majlis ini diadakan adalah untuk memberi penghargaan khususnya kepada skuad Karnival Wajadiri (KWD) IPT PSSCM UTP 2012 atas kejayaan mereka muncul sebagai juara keseluruhan bagi skuad lelaki, dan naib juara keseluruhan bagi skuad wanita, baru-baru ini. Majlis bertempat di Pocket D, UTP dan melibatkan seluruh ahli daripada PSSCM UTP khasnya, dan ahli daripada PSSCM Cawangan Perak (Baru) amnya.

     Tetamu kehormat yang hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Teknologi Petronas, Tuan Haji Mohamed Noor Rosli Bin Baharom, selaku Penasihat 1 PSSCM UTP. Antara tetamu lain yang hadir adalah wakil dari PSSCM Cawangan Perak (Baru). Mereka adalah, Mohd Zabidi Azizi Bin Abu Kassim, Bendahari PSSCM Cawangan Perak (Baru) , En. Mohd Faiz Bin Rosli, Penolong Setiausaha 2 dan juga Mohd Kassim Bin Abdul Kadir, Ahli Jawatankuasa PSSCM Cawangan Perak (Baru).

Tuan Haji Mohamed Noor Rosli Bin Baharom ketika memberikan ucapan beliau.

   
     Acara bermula seawal jam 8.30 malam selepas ketibaan tetamu kehormat dan berlansung dengan jayanya sehingga ke akhir. Tuan Haji Mohamed Noor Rosli Bin Baharom, Penasihat 1 PSSCM UTP adalah antara tetamu kehormat yang dijemput untuk memberikan ucapan pada majlis tersebut. Majlis ini sedikit sebanyak telah menjadi kayu pengukur kepada pembangunan dan perkembangan PSSCM UTP, sejak penubuhannya pada tahun 1999.

     Kepada semua AJK dan mereka yang terlibat, sekalung penghargaan dan tahniah diucapkan kepada anda semua diatas penat lelah dan usaha anda. Semoga ALLAH memberkati semua usaha kita, Amiiin. Berikut adalah beberapa foto yang sempat diambil sepanjang majlis :





Tetamu kehormat yang hadir memeriahkan majlis


 Wakil jemputan daripada Badan Pelajar di UTP, yang banyak membantu PSSCM UTP dalam menjayakan aktiviti persatuan selama ini


Ahli-ahli PSSCM UTP sedang menjamu selera


Antara adik-adik UTP 25 yang turut hadir sedang menikmati juadah yang disediakan
Skuad KWD PSSCM UTP 2012 bergambar bersama tetamu kehormat


Presiden PSSCM UTP kini(dua dari kiri), saudara Nor Fakhrul Bin Mohd Noor bergambar bersama YDP PSSCM IPT Perak


Ahli PSSCM UTP yang akan menjalani latihan industri. Selamat maju jaya diucapkan.


Barisan adik-adik daripada kelas latihan UTP 25, bergambar bersama tenaga pengajar


Sesi bergambar bersama tetamu kehormat dan tetamu jemputan. Hidup Cekak!


     Adalah diharapkan hubungan yang terbina di kalangan ahli-ahli PSSCM UTP sepanjang penglibatan mereka dalam aktiviti persatuan sepanjang semester ini akan terus berkekalan. Semoga PSSCM UTP akan terus cemerlang dalam usahanya melahirkan mahasiswa berjiwa panglima, yang akan bersatu untuk mempertahankan Agama, Bangsa dan Negara pada masa hadapan.








"Kita bawa dua, satu Melayu satu Islam. Kalau tumbang satu, yang satu lagi jangan bagi tumbang. Kat negara kita, tak da Melayu, tak da Islam."
- Tuan Haji Mohamed Noor Rosli Bin Baharom, Timbalan Naib Canselor UTP.
Majlis Makan Malam & Penghargaan PSSCM UTP Semester Januari 2012