Tanggal
15 Julai 2012, PSSCM UTP telah menganjurkan program ‘Family Day’ yang disertai
oleh 40 orang ahli bermula pada jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang. Istimewanya,
program ini juga disertai oleh Saudara Mohd Azuwan Bin Maoinser, Penolong
Setiausaha 1 PSSCM Cawangan Perak (Baru).
Aktiviti
pertama iaitu ‘Bersama dan Bersatu 1’ telah dijalankan dengan matlamat supaya
setiap ahli PSSCM UTP dapat mengenali dengan lebih dekat antara satu sama lain.
Ini merupakan satu peluang yang baik terutamanya kepada ahli-ahli baru UTP 26
untuk mengenali kakak-kakak dan abang-abang mereka dalam PSSCM UTP ini.
Setiap
peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut warna pelekat yang
diberikan. Seterusnya, mereka perlu menulis nama rakan yang berada di sebelah
dan rakan mereka itu pula perlu menulis serangkap pantun tentang dirinya. Aktiviti
ini sangat menarik kerana di samping mengetahui nama individu tersebut, kita
dapat mengetahui serba sedikit tentang dirinya. Ada yang menulis tentang tempat
asalnya, makanan kegemarannya dan ada juga yang menulis tentang sifatnya sama
ada dia seorang yang pemalu ataupun garang.
Aktiviti Bersama dan Bersatu 1
Seperti
yang diketahui, pantun merupakan salah satu warisan nenek moyang kita. Bak kata
pepatah “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”. Aktiviti ini sedikit
sebanyak menggalakkan kita supaya menghargai warisan zaman-berzaman dan
mengikis perspektif bahawa penggunaan pantun ini sudah ketinggalan zaman.
Lihatlah dari sudut pandangan yang berbeza, penggunaan pantun ini sangat meluas
dan masih relevan dalam zaman moden ini.
Dalam
‘Bersama dan Bersatu 2’, setiap kumpulan dibahagikan kepada dua kumpulan kecil.
Satu kumpulan ditugaskan mencari bahan api manakala yang lain dikehendaki
mencari bahan untuk memasak. Aktiviti ini pada asasnya adalah untuk memasak
bahan-bahan tertentu mengikut cara masakan rimba.
Berdasarkan
konsep ‘treasure hunt’, kumpulan pertama perlu mencari bahan api di kawasan
sekitar mengikut petunjuk yang diberikan. Kumpulan pertama ini menghadapi
kesukaran untuk mencarinya kerana aktiviti ini meliputi kawasan yang luas.
Aktiviti Bersama dan Bersatu 2
Tugas
kumpulan kedua lebih mudah daripada kumpulan pertama kerana seorang wakil hanya
perlu menutup mata dan mencari bahan memasak di tempat yang ditetapkan.
Berdasarkan arahan daripada ahli kumpulan yang lain, mereka perlu mencari 2
biji telur, 2 biji kentang dan alat untuk memasak dengan mata yang ditutup.
Begitu
jualah kita dalam menuntut ilmu ini. Mata yang tertutup mengambarkan betapa
ceteknya ilmu kita ini. Sebenarnya, kita memerlukan seorang guru untuk
membimbing kita ke arah tujuan yang benar. Oleh itu, janganlah kita sombong dan
bongkak setelah berjaya nanti. Ingat, tanpa guru, siapalah kita? Ibarat dengan
mata yang tertutup, dapatkah kita melihat? Fikir-fikirkanlah.
Bersambung
daripada aktiviti sebelumnya, dalam ‘Bersama dan Bersatu 3’ setiap kumpulan
perlu memasak bahan-bahan yang diperoleh mengikut kreativiti masing-masing. Kepantasan
berfikir amat diperlukan dalam aktiviti ini. Pelbagai gelagat yang dapat
dilihat ketika masing-masing cuba memasak telur dan kentang dalam masa yang
pantas kerana hukuman akan dikenakan bagi mereka yang paling lambat siap. Ada
yang bertungkus-lumus untuk menghidupkan api dan ada yang hanya mencampak bahan-bahan
tersebut ke dalam api.
Aktiviti Bersama dan Bersatu 3
Kami
berbesar hati bahawa tetamu istimewa iaitu saudara Mohd Azuwan Bin Maoinser
sudi menjadi juri untuk menentukan pemenang aktiviti ini.. Walaupun ada yang
telurnya kurang masak dan hampir kesemua kumpulan yang kentangnya masih keras
tetapi secara keseluruhannya, beliau sangat berpuas hati dengan hasil kerja
setiap kumpulan.
Sesi pemilihan pemenang Aktiviti Bersama dan Bersatu 3
Itulah
hasil kerjasama setiap ahli. Pada akhirnya, kita dapat merasa kemanisan
melakukan kerja bersama-sama. Begitulah jua dalam berpersatuan ini, setiap ahli
perlu saling bekerjasama antara satu sama lain. Kita perlu ingat bahawa
‘’bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Dapatkah kita melaksanakan setiap
kerja dalam persatuan sekiranya kita tidak bersatu dan saling tidak mempercayai
antara satu sama lain? Tepuk dada, tanya selera.
Program
ini dihentikan sebentar pada jam 12.30 tengah hari supaya peserta dapat
menikmati makanan tengah hari dan berehat sebelum mengerjakan solar fardhu
Zuhur. Selepas itu, program bersambung dengan ‘Bersama dan Bersatu 4’. Aktiviti
ini sangat ditunggu-tunggu dan merupakan kemuncak kepada program ‘Family Day’
ini.
Mengambil
konsep yang digunakan dalam satu program televisyen iaitu ‘Running Man’, setiap
ahli kumpulan dikehendaki mencabut pelekat ahli kumpulan yang lain. Dalam masa
yang sama, mereka perlu mengisi botol besar yang disediakan di ‘checkpoint’
utama dengan air. Pemenang hanya akan ditentukan melalui bilangan air yang diisi
ke dalam botol tersebut.
Walau
bagaimanapun, ada beberapa orang ahli dipilih sebagai pengacau dan tugas mereka
ialah mengotorkan air yang telah diisi. Ahli-ahli yang lain perlu menghalang
pengacau tersebut daripada mengotorkan air yang telah diisi ke dalam botol.
Situasi ini juga dapat dilihat dalam sesebuah organisasi.
Ada
kemungkinan wujudnya gunting dalam lipatan yang akan berusaha sedaya upaya untuk
menggagalkan usaha murni kita. Situasi ini lagi bahaya daripada anasir-anasir
luar yang jahat. Hal ini kerana, mereka ini umpama duri dalam daging dan mampu
merosakkan persatuan kita dari dalam. Aktiviti ini sedikit sebanyak mengajar
kita supaya sentiasa berwaspada.
Semua
peserta memberikan kerjasama yang sangat baik dalam aktiviti ‘Bersama dan
Bersatu 4’. Pelbagai aksi dapat dilihat, maklumlah semuanya sudah biasa dengan
permainan lasak dan memerlukan stamina yang tinggi. Ahli-ahli perempuan juga
melibatkan diri secara aktif dalam permainan ini. Ada yang kelihatan
lemah-lembut tetapi awas, jangan lihat pada luarannya sahaja. Mereka juga mampu
melawan sesama mereka umpama serikandi Melayu pada zaman dahulu. Apatah lagi
dengan ahli-ahli lelaki, aksi-aksi ganas juga dapat dilihat. Ada yang terjatuh,
tergolek dan terguling-guling sepanjang permainan.
Aktiviti
terakhir adalah untuk mengenakan ahli-ahli yang bakal menamatkan pelajaran
mereka di UTP pada semester ini. Bukanlah mengenakan tetapi lebih sebagai kenangan
manis kepada kakak-kakak dan abang-abang ini. Mereka ditutup matanya dan
disolek dengan bahan-bahan yang dapat diperoleh daripada kawasan sekitar
seperti bunga dan daun-daun. Ini merupakan program ‘Family Day’ yang terakhir
bagi mereka. Sekurang-kurangnya, mereka dapat meninggalkan UTP dengan kenangan
manis yang tercipta bersama-sama dengan adik-adik.
Wajah kakak-kakak dan abang yang bakal menamatkan pelajaran di UTP (Tidak termasuk Abang Syahmi)
Program
‘Family Day’ ini telah berjaya mencapai matlamatnya iaitu menyatukan semua ahli
PSSCM UTP sebagai satu keluarga yang besar seperti yang disarankan oleh Yang
Mulia Guru Utama, Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah iaitu ‘Bersama dan
Bersatu’. Diharapkan program sebegini dapat dilaksanakan lagi pada masa
hadapan. Tidak lupa juga, syabas dan tahniah diucapkan kepada Ahli-ahli
Jawatankuasa program ‘Family Day’ ini atas segala usaha dan keringat untuk
menjayakan program ini serta kepada peserta-peserta yang memberikan kerjasama
yang sangat baik. Tahniah.
Wajah-wajah riang para peserta ketika menerima hadiah
Para peserta Family Day bergambar beramai-ramai