Program Pengambilan Ahli Baru Kelas UTP 22

28–30 Julai, 4-6 Ogos 2010, UTP - Program ini terdiri daripada dua bahagian iaitu Pameran Statik dan Malam Demonstrasi Penerangan dan Pengulasan. Program ini dijalankan bagi mengambil ahli baru untuk Kelas UTP 22 PSSCM UTP bagi sesi Julai 2010.



Selain itu, program ini dijalankan untuk memperkenalkan PSSCM UTP sebagai salah satu seni mempertahankan diri yang terdapat di UTP.

Program ini berlangsung selama enam hari dalam masa dua minggu dan program ini merupakan aktiviti tahunan yang akan dijalankan oleh PSSCM UTP bagi menambah bilangan ahli. 


Pameran statik di perkarangan Poket D dan Kafetaria UTP dari 28-30 Julai dan 4-6 Ogos 2010 adalah untuk memperkenalkan Silat Cekak berdasarkan sejarah, mata pelajaran, isu semasa dan juga memperkenalkan sebahagian aktiviti yang dilakukan oleh PSSCM UTP kepada seluruh warga UTP.



Manakala, bagi program Demonstrasi Penerangan dan Pengulasan yang berlangsung pada pukul 9.00 malam sehingga 10.30 malam di Dewan Serbaguna, UTP, Silat Cekak dipersembahkan melalui secara teori dan praktikal kepada seluruh warga UTP serta kepada pelajar – pelajar baru bagi semester Julai 2010.

Seramai 24 orang ahli PSSCM UTP telah terlibat bagi menjayakan demonstrasi tersebut.

Demonstrasi Pengambilan Ahli Baru Kelas UiTM 24

2 Ogos 2010, UiTM Seri Iskandar - Skuad demonstrasi PSSCM UTP telah bergabung bersama-sama skuad demonstrasi PSSCM UiTM Perak untuk menjayakan Majlis Demonstrasi dan Penerangan Pengambilan Ahli Baru UiTM 24 yang bertempat di gelanggang bola keranjang UiTM Seri Iskandar.


Pada malam tersebut, skuad demonstrasi gabungan UTP dan UiTM Seri Iskandar telah diketuai oleh saudara Sholleh Cahyoadi manakala sesi penerangan telah disampaikan oleh Encik Mohd Zabidi Azizi, salah seorang AJK Pengurusan Kelas Latihan Ibu Pejabat Negeri Perak.

Sebaik sahaja demonstrasi penerangan tamat, majlis diteruskan dengan persembahan demonstrasi bermuzik.


Majlis pada malam tersebut telah menarik minat ramai mahasiswa dan mahasiswi UiTM Seri Iskandar.

Alhamdu Lillah, demonstrasi tersebut telah berlangsung dengan jayanya tanpa sebarang masalah.

Kejohanan Sukan Mempertahankan Diri 2010

22 – 25 Julai 2010, Ipoh - Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak telah menganjurkan Kejohanan Sukan Mempertahankan Diri 2010 di Ipoh, Perak bermula 22 Julai sehingga 25 Julai 2010. 


Terdapat 12 disiplin yang terlibat dalam kejohanan berprestij ini temasuklah Pertubuhan Silat Seni Gayung Malaysia, Pertubuhan Seni Silat Gayong Fatani Malaysia, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, Persatuan Wushu Malaysia, Persatuan Silambam Malaysia, Persatuan Silat Seni Kegayongan Acheh Helang Putih, Persatuan Seni Silat Lincah Malaysia, dan Persekutuan Taekwondo Antarabangsa Malaysia.

Objektif kejohanan ini diadakan adalah untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan, memupuk nilai – nilai murni melalui seni mempertahankan diri, memartabatkan warisan negara terutamanya silat, dan juga untuk mengeratkan hubungan di kalangan masyarakat berbilang kaum selari dengan konsep 1 Malaysia.

Bagi disiplin Seni Silat Cekak Malaysia, Negeri Perak telah menghantar satu kontijen yang terdiri daripada 10 orang peserta dan seorang jurulatih. Daripada jumlah tersebut, seramai enam orang ahli PSSCM UTP telah dipilih untuk menyertai skuad tersebut.

Mereka adalah:

1)M.Nazmi Izuddin Bin Mohamad Nasir
2)Mohammad Zarith Bin Ahmad
3)Muhammad Izzuddin Bin Badrul Hisham
4)Muhammad Hazeeq Bin Salehuddin
5)Muhammad Afdhaludden Bin Azmi
6)Nor Fakhrul Bin Mohd Noor

Pertandingan bagi disiplin ini telah diadakan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat. Sebanyak tujuh kategori telah dipertandingkan. 


Secara keseluruhannya, kontijen Negeri Perak telah memenangi:

1)Pingat Perak untuk Kategori Kelima.
2)Pingat Gangsa untuk Kategori Pertama.


Juara keseluruhan bagi disiplin Seni Silat Cekak Malaysia telah disandang oleh Negeri Selangor dengan tiga pingat emas dan satu pingat perak. Manakala tempat kedua jatuh kepada negeri Sembilan dan Negeri Johor telah mendapat tempat ketiga.

Akhir sekali, tahniah dan syabas diucapkan kepada kontijen Negeri Perak atas kejayaan mereka. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada seluruh warga PSSCM UTP dalam memartabatkan warisan budaya bangsa ini.