24 JANUARI 2015 : Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) telah diadakan bagi membantu mangsa banjir di daerah Perak Tengah. Program anjuran bersama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) selama dua hari ini juga membabitkan sukarelawan kakitangan The New Straits Time Press (Malaysia) Berhad, ahli PSSCM, Kelab Basikal Harian Metro (HMCC) dan Big Bike Riders.
Pada program ini, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Universiti Teknologi Petronas (PSSCMUTP) turut bersama turun padang bersama - sama ahli PSSCM Cawangan Perak yang lain untuk membantu mangsa banjir yang memerlukan pertolongan. Turut bersama dalam program ini ialah Pengerusi Sambutan Perayaan Jubli Emas PSSCM En. Mohd Fizol bin Mohd Saad. Rata - rata ahli PSSCMUTP yang terlibat dengan program ini begitu bersemangat membantu mereka yang memerlukan pertolongan di sana. Antara barangan yang di sumbangkan kepada mereka ialah beras, minyak, tepung dan makanan. Program ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mereka yang dilanda banjir buruk yang berlaku pada baru-baru ini.
" Saya begitu teruja apabila diberitahu ada program sukarelawan pasca banjir dan cepat - cepat saya mendaftarkan diri untuk menjadi sukarelawan. Ini adalah pengalaman paling berharga yang tidak dapat diperoleh di mana - mana". Kata - kata tersebut menggambarkan semangat yang ditunjukkan oleh salah seorang ahli PSSCMUTP, Muhammad Khairi bin Roslim yang terlibat dalam program ini. Walaupun penat, kami tetap bersemangat untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Program ini banyak memberi pengalaman kepada kami untuk bersama dan bersatu dalam mengatasi sesuatu masalah dan cabaran. Program ini secara tidak langsung dapat memupuk sifat saling membantu antara satu sama lain.
Kami juga berharap bantuan yang disumbangkan ini dapat meringankan beban mangsa-mangsa banjir. Akhir kalam, kami berharap penduduk yang dilanda banjir tabah dan cekal dalam menghadapi musibah bencana alam ini. Sesungguhnya setiap perkara yang berlaku itu pasti mempunyai hikmahnya yang tersendiri.