Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM)


24 JANUARI 2015 : Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) telah diadakan bagi membantu mangsa banjir di daerah Perak Tengah. Program anjuran bersama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) selama dua hari ini juga membabitkan sukarelawan kakitangan The New Straits Time Press (Malaysia) Berhad, ahli PSSCM, Kelab Basikal Harian Metro (HMCC) dan Big Bike Riders.
Pada program ini, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Universiti Teknologi Petronas (PSSCMUTP) turut bersama turun padang bersama - sama ahli PSSCM Cawangan Perak yang lain untuk membantu mangsa banjir yang memerlukan pertolongan. Turut bersama dalam program ini ialah Pengerusi Sambutan Perayaan Jubli Emas PSSCM En. Mohd Fizol bin Mohd Saad. Rata - rata ahli PSSCMUTP yang terlibat dengan program ini begitu bersemangat membantu mereka yang memerlukan pertolongan di sana. Antara barangan yang di sumbangkan kepada mereka ialah beras, minyak, tepung dan makanan. Program ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mereka yang dilanda banjir buruk yang berlaku pada baru-baru ini.
" Saya begitu teruja apabila diberitahu ada program sukarelawan pasca banjir dan cepat - cepat saya mendaftarkan diri untuk menjadi sukarelawan. Ini adalah pengalaman paling berharga yang tidak dapat diperoleh di mana - mana". Kata - kata tersebut menggambarkan semangat yang ditunjukkan oleh salah seorang ahli PSSCMUTP, Muhammad Khairi bin Roslim yang terlibat dalam program ini. Walaupun penat, kami tetap bersemangat untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Program ini banyak memberi pengalaman kepada kami untuk bersama dan bersatu dalam mengatasi sesuatu masalah dan cabaran. Program ini secara tidak langsung dapat memupuk sifat saling membantu antara satu sama lain.
Kami juga berharap bantuan yang disumbangkan ini dapat meringankan beban mangsa-mangsa banjir. Akhir kalam, kami berharap penduduk yang dilanda banjir tabah dan cekal dalam menghadapi musibah bencana alam ini. Sesungguhnya setiap perkara yang berlaku itu pasti mempunyai hikmahnya yang tersendiri.

BERSAMA DAN BERSATU





Kami masih sempat bergambar walaupun kepenatan hehe

Sebahagian daripada ahli - ahli PSSCM yang terlibat dengan program ini

Semester Januari 2015 kini telah bermula!!!


             Maka dengan itu, tidak terlewat rasanya utk kami daripada PSSCM UTP ingin mengucapkan Selamat Kembali ke kampus Universiti Teknologi PETRONAS buat rakan - rakan seperjuangan sekalian.

            Seiring dengan tahun baru dan semester baru ini, marilah kita bersama tanamkan azam & semangat yang baru. Ikhlaskan niat belajar kita hanya untuk Allah Ta'ala dan semoga setiap langkah kita pada semester ini senantiasa di bawah keredhaanNya.
"Sesiapa yang menempuh satu jalan kerana mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga."
[Riwayat Muslim]


KONVOKESYEN KE-31 (ZON UTARA PSSCM) DAN FORUM



'Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya'.

Itulah pepatah yang paling tepat buat ahli-ahli PSSCM UTP yang baru sahaja menerima sijil untuk Ujian Sijil Rendah Silat Cekak setelah setahun lebih berhempas-pulas mempersiapkan diri mempelajari silibus pelajaran Silat Cekak serta turut menjalani Ujian Teori dan Ujian Praktikal, maka majlis konvokesyen ini dilangsungkan khusus bagi tujuan meraikan usaha mereka.

Majlis Konvokesyen ke-31 Zon Utara dan Forum PSSCM bagi telah berjaya disempurnakan dengan penuh adat istiadat Melayu pada 06 Disember 2014 yang lalu di Dewan Serbaguna Ibn Hazm, UNIKL-MSI, Kulim, Kedah. Majlis ini turut dihadiri oleh Guru Utama dan Presiden PSSCM, YM Datuk Hj Maideen Bin Kadir Shah dan Ahli Parlimen Seberang Perai, YB. Dato' Seri Reezal Merican Bin Naina Merican sekaligus menjadi perasmi majlis tersebut.

Seramai 13 orang ahli dari PSSCM UTP telah menerima sijil pada majlis konvokesyen tersebut. Lapan orang daripada mereka mendapat kelulusan kepujian. Majlis yang bermula pada pukul 8.45 pagi dan berakhir pada pukul 6.15 petang berlangsung dengan meriah dan penuh istiadat.

PSSCM UTP mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas buat semua peserta yang telah berjaya menerima sijil.

Bersama dan bersatu.





Kegembiraan jelas terpancar dari setiap wajah ahli-ahli PSSCM UTP

Program Interaksi PSSCM UTP kali ke-22



Pada 07-09 November yang lalu, PSSCM UTP telah mengadakan sebuah program yang sering dinanti-nantikan oleh ahli-ahlinya, iaitu Program Interaksi PSSCM UTP Kali Ke-22.

Ahli-ahli PSSCM UTP mula bertolak ke Joy Chalet, Kg Changkat Chermin Ayer Tawar, Perak pada pukul 2.30 petang pada hari Jumaat. Program tahunan diadakan bertujuan utama untuk memperkenalkan PSSCM UTP dan PSSCM amnya secara lebih dekat dan intensif di dalam persekitaran kekeluargaan kepada ahli-ahli baru di samping dapat mengukuhkan tali ukhuwah di antara ahli.

Aktiviti selama 3 hari 2 malam ini telah mendapat pelbagai respon positif daripada ahli-ahli baru malah hubungan antara kami lebih erat dan mereka semakin seronok mengecapi kemanisan berpersatuan. Sepanjang program ini berlangsung, banyak modul-modul menarik yang dijalankan di mana turut menyediakan beberapa info berguna dan pengajaran yang boleh diambil dan diaplikasikan dalam berpersatuan serta kehidupan harian.

Semoga ikatan yang telah terbina ini akan terus kukuh dan jumpa lagi di Program Interaksi yang seterusnya !