Majlis tersebut diadakan untuk memberi peluang kepada ahli-ahli PSSCM bukan sahaja dari UTP malah ahli-ahli dari seluruh negeri Perak untuk berkumpul dan bersama-sama merayakan Hari Raya Aidilfitri di bulan Syawal yang mulia. Di samping itu, malam itu juga diadakan khas unutk meraikan ahli-ahli yang bakal menamatkan pengajian mereka di UTP.
Majlis bermula dengan kehadiran perasmi majlis tersebut iaitu En Abdul Halim bin Saad, YDP PSSCM Cawangan Perak. Kemudian, tetamu dijemput untuk menjamu selera sambil melihat montaj yang telah disediakan oleh Jabatan Penerangan PSSCM UTP dan diiiringi oleh lagu-lagu raya. Pelbagai juadah masakan telah disediakan antaranya sate, lemang, rendang dan banyak lagi yang pastinya memikat selera tetamu-tetamu yang hadir pada malam itu.
Sesudah menjamu selera, majlis diteruskan lagi dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Majlis iaitu saudara Abdul Hazim bin Abdullah sebgai Pengarah Program. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua hadirin yang hadir dan juga mengucapkan selamat maju jaya kepada ahli-ahli yang bakal meninggalkan UTP tidak lama lagi. Kemudian, tibalah masanya untuk ucapan perasmian oleh Encik Abdul Halim bin Saad. Beliau mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa penganjur program yang bertanggungjawab mengadakan majlis tersebut di samping menceritakan serba sedikit pengalaman beliau kepada para hadirin.
Selepas itu, majlis diteruskan lagi dengan tayangan cerita pendek yang dilakonkan sendiri oleh ahli-ahli yang akan menamatkan pengajian yang menceritakan perjalanan mereka di dalam PSSCM UTP. Seterusnya, ahli-ahli ini menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh Encik Abdul Halim bin Abdul Saad. Semoga majlis tersebut akan menjadi kenangan yang paling indah sepanjang penglibatan mereka di dalam PSSCM UTP.
Di akhir majlis, semua tetamu mengambil gambar sebagai kenang-kenangan. Akhir kata, diharap supaya majlis pada malam tersebut dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama ahli-ahli PSSCM khususnya di negeri Perak. Kepada ahli-ahli yang bakal menamatkan pengajian mereka, jutaan terima kasih diucapkan di atas jasa dan pengorbanan kalian yang telah dicurahkan selama ini. Semoga semangat perjuangan kalian dapat diteruskan lagi oleh generasi-generasi yang akan datang.
Antara-antara gambar semasa majlis berlangsung.