Rasanya masih belum terlambat untuk pihak PSSCM UTP ingin mengucapkan selamat menghadapi semester September 2012, yang kini sudah masuk minggu ketiga. Adalah diharapkan agar semuanya masih bersemangat dan berazam untuk melakukan yang terbaik, bagi melaksanakan amanah yang diberi oleh ibu bapa kita tercinta.
Susunlah jadual belajar anda dengan baik, dan jangan buang masa dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Sama-sama kita betulkan niat, untuk menghadiahkan sebuah kejayaan kepada ibu bapa kita. Di samping belajar silat untuk menjaga diri, pencapaian akademik juga perlu dijaga, dalam usaha untuk memartabatkan bangsa kita sendiri, iaitu bangsa Melayu, agar terus bangkit dan memakmurkan bumi Malaysia ini.
Kepada yang sedang dan akan menjalani latihan industri, selamat maju jaya diucapkan. Kepada yang bercuti, berbaktilah kepada kedua ibu bapa semampu anda, sekiranya masih ada. Sekiranya berpeluang, rajin-rajinkanlah diri anda untuk turun ke Kelas Latihan PSSCM berhampiran kawasan anda, agar dapat mengenali lebih ramai ahli PSSCM di seluruh negara.
Akhir kata, sama-sama kita hayati pesan Guru kita, agar memberi iktibar dan pengajaran kepada semua.
"Bila anda tidak punya tujuan utama dalam hidup ini, maka anda pasti akan hanyut menuju kegagalan"