Selamat Menyambut Ramadan Mubarak



Sempena bulan Ramadan yang akan tiba beberapa hari lagi, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Universiti Teknologi PETRONAS ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadan Mubarak kepada semua warga PSSCMUTP. Semoga Ramadan kali ini lebih memberi erti kebaikan kepada kita semua. Semoga semua amalan kebajikan kita di bulan yang mulia ini dirahmati dan diberkati Allah s.w.t.

AGM Kali ke-13

ASSALAMUALAIKUM WARGA PSSCM UTP 

Jom bersama-sama kita menjalankan tanggungjawab kita sebagai Ahli PSSCM UTP

untuk hadir di

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-13 PSSCM UTP

TARIKH : 15 JULAI 2011 ( JUMAAT)
MASA : 8.15 MALAM
TEMPAT : LH2

Perasmi : En. Arif bin Mohd Zainudin
Setiausaha PSSCM Caw Perak (Baru)

PAKAIAN : FORMAL
LELAKI - BAJU KEMEJA( LENGAN PANJANG), SELUAR SLACK, TIE, KASUT BERTUTUP.
PEREMPUAN - BAJU KURUNG, KASUT BERTUTUP.

JOM2 MERIAHKAN AGM KALI INI!! 


Adab dan Syarat penting dalam mencari ilmu, Berguru dalam Islam.

Assalamualaikum, sempena Majlis Ijazah Potong dan Tamat yang akan diadakan di UTP hari Isnin ini, marilah sama-sama kita renungkan dan amalkan adab berguru yang mungkin kita terlepas pandang sepanjang kita menuntut ilmu dan menjadi anak muridnya.



GURU atau pendidik disanjung dan dimuliakan kerana ilmunya. Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud:"Kelebihan orang yang berilmu berbanding abid samalah seperti kelebihan bulan purnama berbanding segala bintang."(Sunan Abu Daud dan at-Tirmizi)

Kelebihan dinyatakan Rasulullah itu ternyata disebabkan manfaat ilmu disampaikan oleh orang berilmu. Dalam konteks perbincangan kita, golongan guru khususnya.

Kelebihan guru dan pendidik sering dibicarakan hingga pujangga turut mengibaratkan guru seperti bintang di langit yang menerangi kegelapan di laut dan di darat. Justeru, seseorang pengembara dikatakan akan tersesat jalan apabila bintang menghilang.

Demikian juga ibaratnya kehidupan manusia tanpa bimbingan guru yang akan kehilangan arah panduan. Lalu, akhirnya tersesat jalan.

Secara ringkas, antara sebab guru wajib dimuliakan kerana;

Pertama, guru ialah insan mulia dan tinggi kedudukannya. Sebagai orang berilmu yang dijamin Allah ketinggian kedudukannya seperti yang disebutkan dalam satu ayat-Nya, guru tentu memiliki kemuliaan yang perlu dipertahankan. Bahkan, dalam satu ayat-Nya, Allah menggandingkan orang berilmu dengan malaikat. (Maksud surah Ali Imran, ayat 18)

Kedua, yang mewajibkan kita menghormati guru kerana mereka memiliki kebijaksanaan. Seperti dimaklumkan, manusia dapat mengendalikan hidupnya dengan sempurna berdasarkan keimanan dan kebijaksanaan. Begitu dengan guru.

Dengan kebijaksanaannya, guru berupaya membentuk dan mengembangkan daya keilmuan serta kebijaksanaan dalam diri muridnya. Perkara ini tentu dapat melahirkan generasi yang cemerlang akhlak dan peribadinya.

Ketiga, guru menyumbang bakti yang sangat besar. Jasa guru terlalu besar hingga tidak terungkap oleh kata-kata.

Bayangkanlah betapa besarnya jasa guru membimbing hidup manusia seluruhnya dengan ilmu yang diajarnya. Hidup tanpa ilmu sama seperti hidup dalam kegelapan. Ibarat nur, ilmu menerangi hidup manusia. Umpama lilin, guru membakar diri, menerangi kegelapan.

Sejarah membuktikan bahawa manusia berjaya mencapai kegemilangan menerusi ilmu dan kebijaksanaan. Demikian seterusnya dengan teknologi baru hari ini yang dicipta berdasarkan kedua-dua elemen itu, di samping kemahiran yang dimiliki.

Kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir yang dirakamkan dalam al-Quran menerusi surah al-Kahfi ayat 66-82 menunjukkan adab dalam menuntut ilmu.

Suatu perkara yang dapat dilihat dalam pertemuan antara Nabi Musa dan Khidir adalah bagaimana tawaduk dan rendah hatinya Nabi Musa sebagai seorang 'murid' yang mahu mempelajari sesuatu ilmu daripada gurunya. Tutur katanya penuh adab dan tingkah lakunya penuh sopan, syarat yang amat penting bagi sesiapa saja yang mahu menuntut ilmu.

Meneliti kisah Nabi Musa dan Khidir juga membolehkan kita membuat kesimpulan iaitu mereka secara tidak langsung menggariskan beberapa adab penting dalam mencari ilmu, khususnya dalam berguru.

Pertama, ilmu adalah kurniaan Allah. Tidak ada seorang manusia pun yang boleh mendakwa bahawa dia lebih berilmu berbanding orang lain, kerana ada juga ilmu yang juga anugerah Allah tanpa mempelajarinya (ilmu ladunni iaitu ilmu yang dikhususkan untuk hamba Allah yang salih dan terpilih saja).

Kedua, perlu bersabar dan tidak terburu-buru serta mengutamakan kebijaksanaan pada setiap ketika.

Ketiga, seseorang pelajar perlu memelihara adab dengan gurunya.

Antara adabnya adalah seseorang pelajar mesti bersedia untuk mendengar penjelasan daripada guru dari awal hingga akhir, sebelum bertindak dengan mengabaikan perintah guru.

Selain memuliakan guru, kita bertanggungjawab untuk menunaikan hak mereka.

Antara hak guru yang perlu ditunaikan adalah:-

# Merendah diri terhadap guru.

# Memandang guru dengan penuh hormat dan meyakini bahawa keperibadian mereka adalah lebih sempurna.

# Panggillah guru dengan gelaran mulia sebagai tanda menghormati mereka.

# Mengiktiraf hak guru terhadap diri kita.

# Mendoakan untuk guru sepanjang hayat mereka.

# Berkelakuan penuh sopan ketika mengikuti pembelajaran.

# Meminta izin guru sebelum memasuki kelas, rumah atau tempat yang khusus seperti bilik guru.

# Mendengar isi pengajaran dengan tekun walaupun topik perbincangan telah diketahui.

# Tidak mengemukakan pertanyaan bagi sesuatu masalah yang telah pun diketahui jawapannya.

Imam Al-Syafie pernah mengungkap: "Bersabarlah kamu dalam perjalanan jauh demi menemui gurumu, sesungguhnya lautan ilmu itu diperoleh menerusi perjalanan kamu menemuinya. Sesiapa yang tidak berasa kepahitan menuntut ilmu sedetik, ia pasti menelan kehinaan dek kejahilan sepanjang hayatnya."

Sumber: Wan Roslili Bt. Abd. Majid (Pegawai Penyelidik), Berita Harian (19/05/2005)

Siapalah kita yang serba kekurangan ini jika dibandingkan dengan kelebihan guru kita dan siapalah kita andai guru tiada dalam hidup kita, ibarat si pelayar yang sesat di tengah lautan tanpa cahaya dari bintang yang menjadi panduan. Semoga kita dapat ambil iktibar dan amalkan apa yang patut dalam adab kita sebagai anak murid sepanjang proses berguru dengan guru kita.

Wallahua'lam.