Jamuan Hari Raya PSSCM UTP 2010

25 Sept 2010, Kafeteria USM Lama - PSSCM UTP telah mengadakan jamuan hari raya peringkat UTP pada 25 September 2010 bertempat di Kafetaria USM bermula pada pukul 9.00 mlm sehingga 12.00 mlm.



Tujuan program ini diadakan adalah untuk mengeratkan hubungan sesama ahli PSSCM UTP selain untuk memeriahkan lagi kehangatan bulan Syawal yang mulia.

Hampir 50 orang ahli telah hadir bersama-sama memeriahkan program ini.


Sepanjang majlis tersebut berlangsung, para tetamu yang hadir telah dihiburkan dengan alunan lagu-lagu raya dan juga celoteh daripada pengerusi majlis yang dilantik pada malam tersebut, saudara Mohammad Zafarudin bin Jaffir.


Majlis yang diadakan itu telah sedikit sebanyak mengeratkan hubungan antara ahli-ahli.

Majlis Makan Malam Perdana Dan Alumni PSSCM UUM 2010

9 Okt 2010, Sintok, Kedah - PSSCM UTP telah mendapat satu jemputan untuk menghadiri satu sesi forum dan majlis makan malam di Universiti Utara Malaysia (UUM) anjuran PSSCM UUM.


Walau bagaimanapun, atas beberapa faktor, pihak PSSCM UTP hanya dapat menghantar wakil bagi menghadiri Majlis Makan Malam Perdana dan Alumni 2010 yang diadakan pada jam 8 malam.

Wakil PSSCM UTP telah bertolak seawal jam 9.00 pagi. Destinasi pertama yang dituju merupakan rumah saudara salah seorang ahli yang mengikuti rombongan tersebut, yang terletak di negeri Perlis. Sekitar jam 2 petang, mereka berkesempatan untuk pergi ke rumah mantan Presiden PSSCM UTP, saudara Mohamad Saiful Bin Hamid.


Sekitar jam 7.30 malam, mereka telah bertolak ke UUM, Sintok dan mengambil masa kira-kira 30 minit untuk sampai ke sana. Ketibaan mereka di sana telah disambut baik oleh beberapa ahli PSSCM UUM yang sedia menunggu di hadapan Dewan Tradewinds, dewan di mana berlangsungnya majlis tersebut.

Majlis Makan Malam dan Alumni PSSCM UUM 2010 dimulakan dengan persembahan menarik dari Kumpulan Nasyid UUM, Silat Olahraga, dan juga Silat Gayung Malaysia.

Majlis diteruskan dengan ucapan dari beberapa wakil termasuklah Pengarah Program, wakil dari pihak Alumni PSSCM UUM iaitu En. Anuar Aziz @ Abd Aziz merangkap Bendahari Agong PSSCM, En. Rosli Bin Mansor (Yang Di-Pertua PSSCM Cawangan Kedah) dan juga ucapan perasmian penutup oleh Pengarah Kampus Tradewinds, UUM.

Majlis yang berakhir sekitar jam 11.00 malam diteruskan dengan sesi ramah mesra dengan wakil-wakil dari IPT dan beberapa orang ahli PSSCM. Wakil PSSCM UTP telah bertolak pulang ke UTP pada jam 12.00 tengah malam dan telah selamat tiba di UTP pada jam 6.00 pagi.

Diharapkan lebih ramai ahli-ahli PSSCM UTP dapat terlibat sama dalam menghadiri dan menyokong aktiviti yang dianjurkan oleh PSSCM UTP khususnya agar hubungan sesama ahli dapat dibentuk dan diperkukuhkan demi kepentingan bersama.

Demonstrasi Martial Art Festival Sempena SRM Gegar 2010

29 Sept, 1 Okt 2010, UTP - PSSCM UTP telah mendapat jemputan bagi mengadakan demonstrasi bagi memeriahkan satu program yang telah diadakan di UTP iaitu SRM Gegar.



Satu skuad demonstrasi telah dibentuk bagi menjayakan demonstrasi ini yang terdiri daripada lapan orang ahli PSSCM UTP, iaitu:

1. Mohammad Zafarudin bin Jaffir
2. Muhammad Azfar bin Mohd Zuber
3. Muhammad Izzuddin bin Badrul Hisham
4. Muhammad Fahmi bin Ahmad Nor Bakri
5. Muhammad Hazeeq bin Salehuddin
6. Muhammad Afdhaludden bin Azmi
7. Muhammad Muadz bin Mohamad Razi
8. Nor Fakhrul bin Mohd Noor


Demonstrasi ini telah diadakan sebanyak dua sesi iaitu sesi pertama, 29 September 2010 di perkarangan Dewan Canselor pada pukul 2.30 petang.

Sesi kedua pula diadakan pada 1 Oktober 2010 di Dewan Serbaguna, UTP.

Selain daripada PSSCM UTP, terdapat beberapa lagi persatuan seni mempertahankan diri yang telah dijemput oleh pihak penganjur untuk memeriahkan lagi program tersebut.

Majlis Salam Aidilfitri 1431H Anjuran PSSCM Cawangan Kedah

1 Okt 2010, Sungai Petani, Kedah - PSSCM UTP sekali lagi dijemput untuk memeriahkan satu majlis hari raya anjuran PSSCM Cawangan Kedah iaitu Majlis Salam Aidilfitri 1431H


Majlis yang berlangsung di Institut Pendidikan Perguruan Kampus Sultan Abdul Halim (IPG KSAH), Sungai Petani, Kedah ini telah berlangsung seawal jam 8.30 malam.

Seramai lima orang ahli PSSCM UTP telah menghadiri majlis tersebut.

Kira-kira jam 9.00 malam, para hadirin telah dijamu dengan pelbagai juadah yang disediakan. Selain daripada itu, beberapa persembahan nasyid dan bacaan ayat-ayat suci al-Quran turut diadakan.

Majlis berakhir pada jam 10.30 malam.