Majlis Sambutan Aidilfitri PSSCM 2010

25 Sept 2010, Gombak, Selangor - Saban tahun, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) akan menganjurkan satu majlis hari raya bertujuan untuk meraikan bulan Syawal yang mulia dan juga untuk merapatkan hubungan silaturrahim di kalangan ahli-ahli PSSCM seluruh Malaysia.



Pada tahun ini, Majlis Sambutan Aidilfitri ini telah berlangsung di Sekolah Setia Budi, Gombak. Majlis yang berlangsung seawal jam 8.30 malam ini telah dihadiri oleh hampir 2000 orang ahli PSSCM.


Seperti biasa, PSSCM UTP tidak ketinggalan untuk turut sama menyertai majlis yang dihadiri oleh Yang Berbahagia Presiden dan Guru Utama, Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah serta hampir kesemua AJK Pusat. Seramai 10 orang ahli PSSCM UTP telah meluangkan masa untuk menghadiri majlis tersebut.

Majlis telah bermula dengan kehadiran Guru Utama dan Presiden, YB Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah dan isteri dengan diiringi paluan kompang dan selawat.


Selepas sesi ucapan dan bacaan doa, hadirin mula membanjiri bahagian tepi dewan, beratur bagi menjamu pelbagai juadah yang disediakan, termasuklah sate, ketupat, lemang, kuih-muih, dan sebagainya.

Para hadirin telah dipertontonkan dengan satu montaj khas yang telah dihasilkan sempena majlis tersebut yang berkisarkan suasana hari raya. Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan oleh YB Guru Utama.

Majlis bersurai sekitar jam 1 pagi.

Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Yatim PERKIM 2010

28 Ogos 2010, Alor Setar, Kedah - Pada 28 Ogos 2010, bertempat di Dewan DATAR, PERKIM, Alor Setar, Kedah, satu Majlis Berbuka Puasa bersama Anak-anak Yatim PERKIM, Kedah telah diadakan anjuran Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) Cawangan Kedah.


Majlis yang diadakan bertujuan untuk meraikan anak-anak yatim sempena bulan yang mulia ini. Majlis ini telah berjaya menghimpunkan lebih dari 100 orang ahli-ahli PSSCM seluruh Malaysia.

PSSCM UTP telah menghantar wakil seramai sembilan orang ahli untuk menghadiri majlis tersebut. Wakil PSSCM UTP bertolak seawal jam 2.30 petang dan selamat sampai ke destinasi pada jam 6.30 petang. 


Sementara menunggu masuknya waktu berbuka, para hadiri telah diperdengarkan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh salah seorang tetamu jemputan. Setelah masuk waktu berbuka puasa, para hadirin telah dijamah hidangan ringan sebelum menunaikan Solat Maghrib secara berjemaah. Selesai solat, tetamu semua menjamu selera dengan hidangan utama yang telah disediakan.


Majlis telah diteruskan dengan penyampaian duit raya kepada anak-anak yatim oleh beberapa orang AJK Pusat dan ahli-ahli PSSCM. Majlis berbuka puasa ini tamat pada jam 9.00 malam.

Diharapkan agar ahli-ahli PSSCM UTP dapat turut serta pada majlis seperti ini pada masa akan datang. Ianya merupakan hasrat yang mulia guru utama, bagi memuliakan anak-anak yatim setiap kali bulan Ramadhan tiba.