Majlis Makan Malam Sambutan 10 Tahun PSSCM IPT Perak

23 Okt 2010, Dewan Serbaguna UTP - Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia telah berjaya menganjurkan "Majlis Makan Malam Sambutan 10 Tahun PSSCM IPT Perak". Majlis makan malam ini merupakan penganjuran bersama PSSCM UTP, PSSCM UiTM Perak dan KSSCM PUO sempena dengan sambutan 10 tahun penubuhan PSSCM di IPT Perak iaitu, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Teknologi Mara, dan Politeknik Ungku Omar.



Majlis ini telah dirasmikan oleh Encik Roslin Bin Ali Omar, Setiausaha Agong Persatuan Seni SIlat Cekak Malaysia. Tetamu kehormat yang turut hadir adalah Tuan Haji Mohamed Noor Rosli Bin Baharom, Pengarah Jabatan Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar UTP, En. Faizal bin Mohd Yusof, Ahli Jawatankuasa Pusat,dan Encik Abdul Halim Bin Saad, Ketua Pengurusan Kelas Latihan Ibu Pejabat Negeri Perak. 

Seramai 240 orang peserta yang hadir pada malam tersebut dan seramai 80 orang adalah alumni daripada PSSCM UTP, PSSCM UiTM Perak, dan KSSCM PUO.


Sepanjang majlis ini berlangsung, majlis diserikan dengan persembahan demonstrasi bermuzik daripada PSSCM UiTM dan sketsa daripada KSSCM PUO.

Sempena dengan majlis makan malam ini juga, Tuan Haji Mohamed Noor Rosli bin Baharom, selaku Penasihat I PSSCM UTP telah menerima Anugerah Khas Sambutan 10 Tahun PSSCM IPT Perak. Anugerah ini adalah sebagai penghargaan di atas jasa dan bakti yang telah dicurahkan kepada PSSCM UTP semenjak awal penubuhan PSSCM UTP pada tahun 1999.


Pihak PSSCM UTP mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang memberi kerjasama untuk menjayakan majlis yang julung kali diadakan.

Jamuan Hari Raya PSSCM UTP 2010

25 Sept 2010, Kafeteria USM Lama - PSSCM UTP telah mengadakan jamuan hari raya peringkat UTP pada 25 September 2010 bertempat di Kafetaria USM bermula pada pukul 9.00 mlm sehingga 12.00 mlm.



Tujuan program ini diadakan adalah untuk mengeratkan hubungan sesama ahli PSSCM UTP selain untuk memeriahkan lagi kehangatan bulan Syawal yang mulia.

Hampir 50 orang ahli telah hadir bersama-sama memeriahkan program ini.


Sepanjang majlis tersebut berlangsung, para tetamu yang hadir telah dihiburkan dengan alunan lagu-lagu raya dan juga celoteh daripada pengerusi majlis yang dilantik pada malam tersebut, saudara Mohammad Zafarudin bin Jaffir.


Majlis yang diadakan itu telah sedikit sebanyak mengeratkan hubungan antara ahli-ahli.

Majlis Makan Malam Perdana Dan Alumni PSSCM UUM 2010

9 Okt 2010, Sintok, Kedah - PSSCM UTP telah mendapat satu jemputan untuk menghadiri satu sesi forum dan majlis makan malam di Universiti Utara Malaysia (UUM) anjuran PSSCM UUM.


Walau bagaimanapun, atas beberapa faktor, pihak PSSCM UTP hanya dapat menghantar wakil bagi menghadiri Majlis Makan Malam Perdana dan Alumni 2010 yang diadakan pada jam 8 malam.

Wakil PSSCM UTP telah bertolak seawal jam 9.00 pagi. Destinasi pertama yang dituju merupakan rumah saudara salah seorang ahli yang mengikuti rombongan tersebut, yang terletak di negeri Perlis. Sekitar jam 2 petang, mereka berkesempatan untuk pergi ke rumah mantan Presiden PSSCM UTP, saudara Mohamad Saiful Bin Hamid.


Sekitar jam 7.30 malam, mereka telah bertolak ke UUM, Sintok dan mengambil masa kira-kira 30 minit untuk sampai ke sana. Ketibaan mereka di sana telah disambut baik oleh beberapa ahli PSSCM UUM yang sedia menunggu di hadapan Dewan Tradewinds, dewan di mana berlangsungnya majlis tersebut.

Majlis Makan Malam dan Alumni PSSCM UUM 2010 dimulakan dengan persembahan menarik dari Kumpulan Nasyid UUM, Silat Olahraga, dan juga Silat Gayung Malaysia.

Majlis diteruskan dengan ucapan dari beberapa wakil termasuklah Pengarah Program, wakil dari pihak Alumni PSSCM UUM iaitu En. Anuar Aziz @ Abd Aziz merangkap Bendahari Agong PSSCM, En. Rosli Bin Mansor (Yang Di-Pertua PSSCM Cawangan Kedah) dan juga ucapan perasmian penutup oleh Pengarah Kampus Tradewinds, UUM.

Majlis yang berakhir sekitar jam 11.00 malam diteruskan dengan sesi ramah mesra dengan wakil-wakil dari IPT dan beberapa orang ahli PSSCM. Wakil PSSCM UTP telah bertolak pulang ke UTP pada jam 12.00 tengah malam dan telah selamat tiba di UTP pada jam 6.00 pagi.

Diharapkan lebih ramai ahli-ahli PSSCM UTP dapat terlibat sama dalam menghadiri dan menyokong aktiviti yang dianjurkan oleh PSSCM UTP khususnya agar hubungan sesama ahli dapat dibentuk dan diperkukuhkan demi kepentingan bersama.

Demonstrasi Martial Art Festival Sempena SRM Gegar 2010

29 Sept, 1 Okt 2010, UTP - PSSCM UTP telah mendapat jemputan bagi mengadakan demonstrasi bagi memeriahkan satu program yang telah diadakan di UTP iaitu SRM Gegar.



Satu skuad demonstrasi telah dibentuk bagi menjayakan demonstrasi ini yang terdiri daripada lapan orang ahli PSSCM UTP, iaitu:

1. Mohammad Zafarudin bin Jaffir
2. Muhammad Azfar bin Mohd Zuber
3. Muhammad Izzuddin bin Badrul Hisham
4. Muhammad Fahmi bin Ahmad Nor Bakri
5. Muhammad Hazeeq bin Salehuddin
6. Muhammad Afdhaludden bin Azmi
7. Muhammad Muadz bin Mohamad Razi
8. Nor Fakhrul bin Mohd Noor


Demonstrasi ini telah diadakan sebanyak dua sesi iaitu sesi pertama, 29 September 2010 di perkarangan Dewan Canselor pada pukul 2.30 petang.

Sesi kedua pula diadakan pada 1 Oktober 2010 di Dewan Serbaguna, UTP.

Selain daripada PSSCM UTP, terdapat beberapa lagi persatuan seni mempertahankan diri yang telah dijemput oleh pihak penganjur untuk memeriahkan lagi program tersebut.

Majlis Salam Aidilfitri 1431H Anjuran PSSCM Cawangan Kedah

1 Okt 2010, Sungai Petani, Kedah - PSSCM UTP sekali lagi dijemput untuk memeriahkan satu majlis hari raya anjuran PSSCM Cawangan Kedah iaitu Majlis Salam Aidilfitri 1431H


Majlis yang berlangsung di Institut Pendidikan Perguruan Kampus Sultan Abdul Halim (IPG KSAH), Sungai Petani, Kedah ini telah berlangsung seawal jam 8.30 malam.

Seramai lima orang ahli PSSCM UTP telah menghadiri majlis tersebut.

Kira-kira jam 9.00 malam, para hadirin telah dijamu dengan pelbagai juadah yang disediakan. Selain daripada itu, beberapa persembahan nasyid dan bacaan ayat-ayat suci al-Quran turut diadakan.

Majlis berakhir pada jam 10.30 malam.

Majlis Sambutan Aidilfitri PSSCM 2010

25 Sept 2010, Gombak, Selangor - Saban tahun, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) akan menganjurkan satu majlis hari raya bertujuan untuk meraikan bulan Syawal yang mulia dan juga untuk merapatkan hubungan silaturrahim di kalangan ahli-ahli PSSCM seluruh Malaysia.



Pada tahun ini, Majlis Sambutan Aidilfitri ini telah berlangsung di Sekolah Setia Budi, Gombak. Majlis yang berlangsung seawal jam 8.30 malam ini telah dihadiri oleh hampir 2000 orang ahli PSSCM.


Seperti biasa, PSSCM UTP tidak ketinggalan untuk turut sama menyertai majlis yang dihadiri oleh Yang Berbahagia Presiden dan Guru Utama, Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah serta hampir kesemua AJK Pusat. Seramai 10 orang ahli PSSCM UTP telah meluangkan masa untuk menghadiri majlis tersebut.

Majlis telah bermula dengan kehadiran Guru Utama dan Presiden, YB Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah dan isteri dengan diiringi paluan kompang dan selawat.


Selepas sesi ucapan dan bacaan doa, hadirin mula membanjiri bahagian tepi dewan, beratur bagi menjamu pelbagai juadah yang disediakan, termasuklah sate, ketupat, lemang, kuih-muih, dan sebagainya.

Para hadirin telah dipertontonkan dengan satu montaj khas yang telah dihasilkan sempena majlis tersebut yang berkisarkan suasana hari raya. Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan oleh YB Guru Utama.

Majlis bersurai sekitar jam 1 pagi.

Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Yatim PERKIM 2010

28 Ogos 2010, Alor Setar, Kedah - Pada 28 Ogos 2010, bertempat di Dewan DATAR, PERKIM, Alor Setar, Kedah, satu Majlis Berbuka Puasa bersama Anak-anak Yatim PERKIM, Kedah telah diadakan anjuran Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) Cawangan Kedah.


Majlis yang diadakan bertujuan untuk meraikan anak-anak yatim sempena bulan yang mulia ini. Majlis ini telah berjaya menghimpunkan lebih dari 100 orang ahli-ahli PSSCM seluruh Malaysia.

PSSCM UTP telah menghantar wakil seramai sembilan orang ahli untuk menghadiri majlis tersebut. Wakil PSSCM UTP bertolak seawal jam 2.30 petang dan selamat sampai ke destinasi pada jam 6.30 petang. 


Sementara menunggu masuknya waktu berbuka, para hadiri telah diperdengarkan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh salah seorang tetamu jemputan. Setelah masuk waktu berbuka puasa, para hadirin telah dijamah hidangan ringan sebelum menunaikan Solat Maghrib secara berjemaah. Selesai solat, tetamu semua menjamu selera dengan hidangan utama yang telah disediakan.


Majlis telah diteruskan dengan penyampaian duit raya kepada anak-anak yatim oleh beberapa orang AJK Pusat dan ahli-ahli PSSCM. Majlis berbuka puasa ini tamat pada jam 9.00 malam.

Diharapkan agar ahli-ahli PSSCM UTP dapat turut serta pada majlis seperti ini pada masa akan datang. Ianya merupakan hasrat yang mulia guru utama, bagi memuliakan anak-anak yatim setiap kali bulan Ramadhan tiba.

Mesyuarat Agung Tahunan PSSCM UTP Ke-12

26 Ogos 2010, Dewan Kuliah 1, UTP - PSSCM UTP telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan PSSCM UTP yang ke – 12. Program ini telah diadakan di Dewan Kuliah D1, Poket D pada 26 Ogos 2010.



Tujuan mesyuarat ini diadakan adalah untuk membentuk struktur pentadbiran PSSCM UTP yang baru bagi sesi 2010/2011.

Seramai 54 orang ahli PSSCM UTP dan 7 orang ahli dari UiTM Seri Iskandar, Politeknik Premier Ungku Omar dan Kelas Latihan Ipoh telah mengambil bahagian di dalam program ini.

Majlis dimulakan dengan ucapan daripada Timbalan Presiden PSSCM UTP bagi sesi 2009/2010, Saudara Mohammad Khairi bin Roslim. Seterusnya majlis dirasmikan oleh Encik Arif bin Zainudin, AJK Pengurusan PSSCM Kelas Latihan Ibu Pejabat Negeri Perak. 


Majlis diakhiri dengan tayangan montaj yang disediakan oleh AJK Protokol. Setelah itu, semua tetamu jemputan dan ahli – ahli dijemput untuk menjamu selera.

Seterusnya, mesyuarat dimulakan dengan pemilihan Pengerusi Sementara dan Pencatat Minit Sementara. Mesyuarat dimulakan dengan menyemak serta meluluskan Minit Mesyuarat Agung Tahunan ke-11 PSSCM UTP, dan diteruskan dengan pembentangan aktiviti dan kewangan bagi sesi 2009/2010. 

Mesyuarat diteruskan dengan peletakan jawatan Exco-exco PSSCM UTP bagi sesi 2009/2010 dan diteruskan dengan pemilihan struktur pentadbiran PSSCM UTP yang baru bagi sesi 2010/2011. 


Berikut merupakan senarai nama mereka yang telah terpilih untuk memegang tampuk kepimpinan PSSCM UTP bagi sesi 2010/2011:

Presiden: Muhammad Khairi bin Roslim
Timbalan Presiden: Nor Fakhrul bin Mohd Noor
Setiausaha I: Muhammad Afdhaludden bin Azmi
Bendahari: Nor Hafizah binti Idris
Ketua Penerangan: Muhammad Izzuddin bin Badrul Hisham
Setiausaha II: Nur Hanie binti Zamri
Exco Perhubungan dan Lawatan: Nurul Izzaty Faizzen binti Zulkefely
Exco Kebajikan dan Muamalat: Che Fatin Humaira binti Che Yusuf
Exco Peralatan dan Harta: Khairil Ikhwan bin Abdul Rahman
Exco Demonstrasi: Muhammad Hazeeq bin Salehuddin
Exco Promosi dan Publisiti: Muhammad Azfar bin Mohd Zuber

Akhir kata, semoga dengan pemilihan barisan Exco yang baru ini dapat terus memajukan PSSCM UTP agar terus bertapak kukuh di bumi UTP seterusnya mengharumkan nama baik PSSCM di peringkat universiti, negeri, dan kebangsaan.

Program Pengambilan Ahli Baru Kelas UTP 22

28–30 Julai, 4-6 Ogos 2010, UTP - Program ini terdiri daripada dua bahagian iaitu Pameran Statik dan Malam Demonstrasi Penerangan dan Pengulasan. Program ini dijalankan bagi mengambil ahli baru untuk Kelas UTP 22 PSSCM UTP bagi sesi Julai 2010.



Selain itu, program ini dijalankan untuk memperkenalkan PSSCM UTP sebagai salah satu seni mempertahankan diri yang terdapat di UTP.

Program ini berlangsung selama enam hari dalam masa dua minggu dan program ini merupakan aktiviti tahunan yang akan dijalankan oleh PSSCM UTP bagi menambah bilangan ahli. 


Pameran statik di perkarangan Poket D dan Kafetaria UTP dari 28-30 Julai dan 4-6 Ogos 2010 adalah untuk memperkenalkan Silat Cekak berdasarkan sejarah, mata pelajaran, isu semasa dan juga memperkenalkan sebahagian aktiviti yang dilakukan oleh PSSCM UTP kepada seluruh warga UTP.



Manakala, bagi program Demonstrasi Penerangan dan Pengulasan yang berlangsung pada pukul 9.00 malam sehingga 10.30 malam di Dewan Serbaguna, UTP, Silat Cekak dipersembahkan melalui secara teori dan praktikal kepada seluruh warga UTP serta kepada pelajar – pelajar baru bagi semester Julai 2010.

Seramai 24 orang ahli PSSCM UTP telah terlibat bagi menjayakan demonstrasi tersebut.

Demonstrasi Pengambilan Ahli Baru Kelas UiTM 24

2 Ogos 2010, UiTM Seri Iskandar - Skuad demonstrasi PSSCM UTP telah bergabung bersama-sama skuad demonstrasi PSSCM UiTM Perak untuk menjayakan Majlis Demonstrasi dan Penerangan Pengambilan Ahli Baru UiTM 24 yang bertempat di gelanggang bola keranjang UiTM Seri Iskandar.


Pada malam tersebut, skuad demonstrasi gabungan UTP dan UiTM Seri Iskandar telah diketuai oleh saudara Sholleh Cahyoadi manakala sesi penerangan telah disampaikan oleh Encik Mohd Zabidi Azizi, salah seorang AJK Pengurusan Kelas Latihan Ibu Pejabat Negeri Perak.

Sebaik sahaja demonstrasi penerangan tamat, majlis diteruskan dengan persembahan demonstrasi bermuzik.


Majlis pada malam tersebut telah menarik minat ramai mahasiswa dan mahasiswi UiTM Seri Iskandar.

Alhamdu Lillah, demonstrasi tersebut telah berlangsung dengan jayanya tanpa sebarang masalah.

Kejohanan Sukan Mempertahankan Diri 2010

22 – 25 Julai 2010, Ipoh - Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak telah menganjurkan Kejohanan Sukan Mempertahankan Diri 2010 di Ipoh, Perak bermula 22 Julai sehingga 25 Julai 2010. 


Terdapat 12 disiplin yang terlibat dalam kejohanan berprestij ini temasuklah Pertubuhan Silat Seni Gayung Malaysia, Pertubuhan Seni Silat Gayong Fatani Malaysia, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, Persatuan Wushu Malaysia, Persatuan Silambam Malaysia, Persatuan Silat Seni Kegayongan Acheh Helang Putih, Persatuan Seni Silat Lincah Malaysia, dan Persekutuan Taekwondo Antarabangsa Malaysia.

Objektif kejohanan ini diadakan adalah untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan, memupuk nilai – nilai murni melalui seni mempertahankan diri, memartabatkan warisan negara terutamanya silat, dan juga untuk mengeratkan hubungan di kalangan masyarakat berbilang kaum selari dengan konsep 1 Malaysia.

Bagi disiplin Seni Silat Cekak Malaysia, Negeri Perak telah menghantar satu kontijen yang terdiri daripada 10 orang peserta dan seorang jurulatih. Daripada jumlah tersebut, seramai enam orang ahli PSSCM UTP telah dipilih untuk menyertai skuad tersebut.

Mereka adalah:

1)M.Nazmi Izuddin Bin Mohamad Nasir
2)Mohammad Zarith Bin Ahmad
3)Muhammad Izzuddin Bin Badrul Hisham
4)Muhammad Hazeeq Bin Salehuddin
5)Muhammad Afdhaludden Bin Azmi
6)Nor Fakhrul Bin Mohd Noor

Pertandingan bagi disiplin ini telah diadakan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat. Sebanyak tujuh kategori telah dipertandingkan. 


Secara keseluruhannya, kontijen Negeri Perak telah memenangi:

1)Pingat Perak untuk Kategori Kelima.
2)Pingat Gangsa untuk Kategori Pertama.


Juara keseluruhan bagi disiplin Seni Silat Cekak Malaysia telah disandang oleh Negeri Selangor dengan tiga pingat emas dan satu pingat perak. Manakala tempat kedua jatuh kepada negeri Sembilan dan Negeri Johor telah mendapat tempat ketiga.

Akhir sekali, tahniah dan syabas diucapkan kepada kontijen Negeri Perak atas kejayaan mereka. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada seluruh warga PSSCM UTP dalam memartabatkan warisan budaya bangsa ini.

Majlis Makan Malam dan Apresiasi Sukan & Ko-kurikulum 2010

31 Mac 2010, Dewan Besar UTP - PSSCM UTP telah dijemput bagi menghadiri Majlis Makan Malam Dan Apresiasi Sukan dan Ko-Kurikulum bertempat di Dewan Besar, UTP bermula dari jam 8.00 malam sehingga jam 11.00 malam.

Seramai 21 orang ahli PSSCM UTP yang menyertai majlis tersebut.

Program diadakan bagi menghargai jasa pelajar – pelajar yang telah mengharumkan nama UTP dalam bidang sukan dan ko-kurikulum. PSSCM UTP telah menghantar wakil bagi menerima anugerah berikutan kejayaan wakil PSSCM UTP di Kejohanan Wajadiri kali ke-3 bertempat di Uitm Puncak Alam, Selangor. PSSCM UTP telah memenangi 1 emas, 1 perak dan 2 gangsa.

Majlis dimulakan dengan makan malam dan diikuti dengan ucapan beberapa orang tetamu jemputan. Seterusnya penyampaian sijil penghargaan dari pihak UTP disampaikan kepada para pelajar.

Pada malam tersebut juga telah diadakan anugerah bagi kelab terbaik di peringkat UTP. Tiga kelab atau persatuan telah dinobatkan sebagi kelab atau persatuan terbaik.

PSSCM UTP muncul sebagai salah satu Persatuan Terbaik UTP bagi sesi 2009/2010.

Sebagai rekod, PSSCM UTP telah menggondol anugerah ini buat kali ketiga selepas tahun 2006 dan 2007. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua ahli PSSCM UTP atas segala pengorbanan dan sumbangan yang telah diberikan.

Semoga PSSCM UTP akan terus unggul pada masa akan datang.

Program Interaksi Bersama PSSCM IPT Perak Kali Pertama

27 Mac 2010, UiTM Seri Iskandar - Program Interaksi bersama IPT PSSCM Perak telah diadakan di UiTM Kampus Seri Iskandar pada 27 Mac 2010 yang lalu.


Program Interaksi adalah salah satu aktiviti wajib PSSCM UTP bagi setiap semester.

Program Interaksi kali ini lebih istimewa setelah digabungkan ketiga-tiga PSSCM IPT Perak iaitu KSSCM PUO (Politeknik Premier Ungku Omar), PSSCM UiTM Seri Iskandar dan PSSCM UTP. 


Tujuan Program Interaksi Bersama ini diadakan adalah untuk memperkenalkan PSSCM (aspek Perguruan, Persatuan dan Persilatan) kepada ahli-ahli baru serta mengeratkan hubungan sesama ahli antara IPT Perak.

Program ini telah berlangsung di UiTM Seri Iskandar, Perak selama tiga hari dan dua malam. Sepanjang program tersebut, pelbagai aktiviti telah diadakan bertujuan untuk merapatkan hubungan sesama ahli serta memberikan kefahaman kepada mereka tentang persatuan ini.


Selain itu, setiap aktiviti juga mengandungi objektif dan matlamat yang tersendiri seperti menerapkan unsur-unsur persahabatan, kerjasama, kreativiti dan juga kecekapan membuat keputusan yang tepat.

Memandangkan keadaan cuaca yang tidak begitu mengizinkan, kebanyakan aktiviti dilaksanakan di dalam dewan. Namun begitu, jelas kelihatan kesungguhan yang dipamerkan oleh peserta program ini dalam melaksanakan setiap tugasan yang diberikan.

Walaupun penat dengan aktiviti yang dijalankan, para peserta masih lagi mampu tersenyum dan memberikan kerjasama yang sangat baik dalam menjayakan program interaksi pada kali ini.


Pada hari ketiga, satu majlis perasmian penutup telah diadakan dan telah dirasmikan oleh Encik Mohamad Hafiz Bin Mohamad Fadzil, Ahli Jawatankuasa (AJK) Pengurusan Kelas Latihan Ibu Pejabat Negeri Perak. 


Diharapkan agar program anjuran bersama PSSCM IPT Perak seperti ini dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang bagi mengeratkan lagi hubungan antara ahli-ahli PSSCM IPT Perak khasnya dan PSSCM amnya.

Demonstrasi Martial Art Night Semester Januari 2010

5 Feb 2010, Dewan Canselor UTP - PSSCM UTP telah mendapat jemputan dari pihak penganjur Martial Art Night bagi mengadakan sebuah demonstrasi sempena Minggu Mesra Kampus Semester Januari 2010. Satu skuad demonstrasi telah dibentuk bagi menjayakan program ini yang bermula dari 8.00 malam sehingga 11.00 malam bertempat di Dewan Canselor, UTP.

 

Seramai 12 orang ahli PSSCM UTP telah menyertai demonstrasi tersebut iaitu:

1. Mohd Nashriq bin Zulkefle
2. Muhammad Azfar bin Mohd Zuber
3. Muhammad Izzuddin bin Badrul Hisham
4. Muhammad Fahmi bin Ahmad Nor Bakri
5. Muhammad Hazeeq bin Salehuddin
6. Muhammad Afdhaludden bin Azmi
7. Muhammad Syahmi bin Hamizol
8. Nor Fakhrul bin Mohd Noor
9. Muhammad Khairi bin Roslim
10. Mohamad Saiful bin Hamid
11. M.Nazmi Izuddin bin Mohamad Nasir
12. Muhammad Akiri bin Md Nawi


Pada malam tersebut hampir kesemua persatuan seni mempertahankan diri yang terdapat di UTP telah membuat persembahan bagi mewakili persatuan masing – masing.



Selain itu, pameran bagi setiap persatuan juga turut diadakan di bahagian luar dewan.