Majlis Konvokesyen PSSCM ke-29 dan Perkhemahan Perdana PSCCM Se-Malaysia

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca. Aktiviti PSSCM di peringkat kebangsaan diteruskan lagi dengan majlis Konvokesyen PSSCM Ke-29 Zon Timur yang diadakan pada 23 November 2013 bersamaan 19 Muharam 1435H bertempat di Grand Hall,Office Of The Campus Director, UIAM Kuantan.

Seramai 28 orang ahli PSSCMUTP telah  menghadiri majlis ini. Majlis dimulakan dengan ketibaan YM Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah, Guru Utama PSSCM dan YBhg. Prof. Dato’ Sri Dr. Zaleha binti Kamaruddin, Rektor UIAM Kuantan.




Antara ahli-ahli PSSCM UTP yang menerima sijil

Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan oleh Guru Utama PSSCM, YM Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah dan diakhiri dengan ucapan dan perasmian daripada YBhg. Prof. Dato’ Sri Dr. Zaleha binti Kamaruddin, rector UIAM Kuantan. Penyerahan watikah dan penyampaian sijil menjadi agenda seterusnya sebelum majlis menjemput para hadirin untuk menjamu selera. Seramai 20 orang ahli dari UTP telah memperoleh sijil dan 5 orang daripadanya  telah berjaya mendapat pangkat Kepujian. Jumlah peserta yang menerima sijil pada majlis Konvokesyen kali ini adalah seramai 372 orang.

Ahli-ahli PSSCM UTP dan UiTM Perak bergambar bersama YDP Cawangan Perak, En. Abdul Halim bin Saad

Pada sebelah petang, majlis diteruskan dengan Perkhemahan Perdana PSSCM Se-Malaysia, bertempat di Pantai Balok, Kuantan, Pahang. Kedua-dua acara yang diadakan di negeri Pahang ini adalah sempena menyambut 48 tahun PSSCM, 35 tahun PSSCM Cawangan Pahang dan 25 tahun PSSCM Cawangan Terengganu.


Ahli-ahli bersantai di Pantai Balok, Kuantan, Pahang

 Pada sebelah malam, telah diadakan Majlis Makan Malam yang telah dirasmikan oleh YB Dato' Hj Mohd Johari Bin Hj Mohd Hussain Pengerusi JK Belia & Sukan Negeri Pahang mewakili YAB Datuk Seri Diraja Hj Adnan Bin Hj Yaakob Menteri Besar Pahang. Pada malam tersebut juga telah ditayangkan video-video dokumentari dan persembahan demonstrasi oleh ahli-ahli PSSCM Cawangan Terengganu dan diakhiri dengan nyanyian lagu Warisan Mutlak. 


Sebahagian Ahli-ahli PSSCM UTP di Majlis Makan Malam
Perkhemahan tersebut telah berakhir pada hari Ahad, 24 November bersamaan 20 Muharam. Diharapkan segala objektif telah tercapai melalui perkhemahan tersebut agar semua ahli mendapat manfaat sedikit sebanyak dari perkhemahan tersebut. 

Tahniah diucapkan kepada mereka yang telah menerima sijil pada majlis konvokesyen pada kali ini. Diharap anda semua terus aktif di dalam persatuan agar misi dan visi PSSCM tercapai.

Sekian, Terima Kasih.

Lain-lain gambar boleh dilayari di pautan ini:

https://www.facebook.com/media/set/?set=oa.398248586973236&type=1

https://www.facebook.com/zainolnasri91/media_set?set=a.639261762787386.1073741841.100001107049303&type=1






Ekspedisi ke Gua Tempurung PSSCMUTP

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pengunjung blog. Sekali lagi admin membasahkan mata tinta untuk melaporkan aktiviti terkini persatuan.



Pada Sabtu, 16 Nov yang lalu PSSCM-UTP telah menganjurkan sebuah ekspedisi ke Gua Tempurung yang bertujuan menguatkan silaturrahim dan ukhuwah di kalangan ahli persatuan serta meningkatkan stamina para ahli.

  



Rombongan seramai 21 orang ini bertolak dari UTP pada jam 9.00 pagi dan tiba di Gua Tempurung sekitar jam 10.00. Setelah selesai mendaftar dan membayar yuran masuk (RM22/kepala), kami terus dibawa masuk meneroka Gua Tempurung, sebuah ciptaan Tuhan yang tiada bandingannya.








Kami berada di dalam gua tersebut selama kira-kira 4 jam. Sepanjang tempoh tersebut, kami berkesempatan melihat kecantikan dan keunikan rupa bentuk gua tersebut, termasuk pembentukan stalagtait dan stalagmait, tekstur dinding yang pelbagai dan berwarna-warni serta berkelipan apabila terkena cahaya, dan banyak lagi. Kami juga berkesempatan menjalankan aktiviti-aktiviti menarik di dalam gua tersebut seperti merangkak di dalam air, menuruni 'slide' semula jadi, mendaki dan menuruni cerun, dan banyak lagi. Sememangnya anda perlu ke sana sendiri untuk benar-benar mengetahui apa yang ada di sana. Kami jamin anda tidak akan menyesal!






Setelah selamat keluar dari gua, kami berhenti makan di sebuah restoran dalam perjalanan pulang ke UTP dan tiba di UTP sekitar jam 7.00 malam.



Daripada aktiviti ini, para ahli telah dapat mengenali antara satu sama lain dengan lebih baik dan akrab. Adalah diiharapkan agar aktiviti-aktiviti luar seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa-masa akan datang untuk membina persefahaman dan kerjasama antara ahli, serta membuktikan bahawa PSSCM UTP bukanlah hanya tertumpu kepada kelas latihan sahaja. Sekian, wassalam.

MAJLIS HARI RAYA DAN MALAM PENGHARGAAN MEI 2013 PSSCM UTP

Majlis Hari Raya dan Malam Penghargaan Mei 2013 PSSCM UTP telah diadakan pada 17 Ogos 2013 bertempat di Bilik Seminar 7 & 8, Undercroft, UTP bermula pada pukul 8.00 malam dan berakhir pada pukul 12.00 tengah malam. Majlis tersebut telah berjalan dengan lancar dan jayanya dengan kehadiran ahli-ahli dari seluruh Perak iaitu seramai kira-kira 130 orang. Lebih istimewa lagi, hampir semua kelas latihan di bawah PSSCM Cawangan Perak telah menghantar wakil ke majlis tersebut. Antara IPT-IPT dan kelas latihan yang telah hadir ke majlis tersebut ialah UITM Perak, PUO, KUISAS, IPG, Cameron Highland dan Taiping termasuk AJK-AJK Cawangan Perak.  

Majlis tersebut diadakan untuk memberi peluang kepada ahli-ahli PSSCM  bukan sahaja dari UTP malah ahli-ahli dari seluruh negeri Perak untuk berkumpul dan bersama-sama merayakan Hari Raya Aidilfitri di bulan Syawal yang mulia. Di samping itu, malam itu juga diadakan khas unutk meraikan ahli-ahli yang bakal menamatkan pengajian mereka di UTP. 

Majlis bermula dengan kehadiran perasmi majlis tersebut iaitu En Abdul Halim bin Saad, YDP PSSCM Cawangan Perak. Kemudian, tetamu dijemput untuk menjamu selera sambil melihat montaj yang telah disediakan oleh Jabatan Penerangan PSSCM UTP dan diiiringi oleh lagu-lagu raya. Pelbagai juadah masakan telah disediakan antaranya sate, lemang, rendang dan banyak lagi yang pastinya memikat selera tetamu-tetamu yang hadir pada malam itu. 


                                 


Sesudah menjamu selera, majlis diteruskan lagi dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Majlis iaitu saudara Abdul Hazim bin Abdullah sebgai Pengarah Program. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua hadirin yang hadir dan juga mengucapkan selamat maju jaya kepada ahli-ahli yang bakal meninggalkan UTP tidak lama lagi. Kemudian, tibalah masanya untuk ucapan perasmian oleh Encik Abdul Halim bin Saad. Beliau mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa penganjur program yang bertanggungjawab mengadakan majlis tersebut di samping menceritakan serba sedikit pengalaman beliau kepada para hadirin.  

                                                


Selepas itu, majlis diteruskan lagi dengan tayangan cerita pendek yang dilakonkan sendiri oleh ahli-ahli yang akan menamatkan pengajian yang menceritakan perjalanan mereka di dalam PSSCM UTP. Seterusnya, ahli-ahli ini menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh Encik Abdul Halim bin Abdul Saad. Semoga majlis tersebut akan menjadi kenangan yang paling indah sepanjang penglibatan mereka di dalam PSSCM UTP. 

                                   

Di akhir majlis, semua tetamu mengambil gambar sebagai kenang-kenangan. Akhir kata, diharap supaya majlis pada malam tersebut dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama ahli-ahli PSSCM khususnya di negeri Perak. Kepada ahli-ahli yang bakal menamatkan pengajian mereka, jutaan terima kasih diucapkan di atas jasa dan pengorbanan kalian yang telah dicurahkan selama ini. Semoga semangat perjuangan kalian dapat diteruskan lagi oleh generasi-generasi yang akan datang.  

Antara-antara gambar semasa majlis berlangsung.