Majlis Ijazah UTP 27



                Sabtu,9 Mac 2013 – Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Universiti Teknologi Petronas telah berjaya mengadakan sebuah program iaitu Majlis Ijazah Asas bagi pelajar-pelajar yang baru mendaftarkan diri di dalam persatuan. Program ini diadakan di Universiti Teknologi Petronas (UTP) bertempat di Bilik Syarahan 8. Program ini bermula daripada pukul 2.30 petang sehingga 6.30 petang dan kemudian bersambung pula pada pukul 8.30 malam sehingga pukul 10.30 malam.

                Selain daripada pelajar-pelajar dari UTP, program ini dihadiri oleh pelajar-pelajar daripada IPT dari seluruh negeri Perak. Ahli jawatankuasa penggerak terdiri daripada ahli PSSCM UTP dan diketuai oleh Nur Syahirah Binti Nazri. Program ini adalah program wajib untuk sesiapa sahaja yang ingin menyertai dan menjadi ahli baru PSSCM.

                Guru Utama PSSCM, YM Datuk Hj. Maideen bin Kadir Shah menghadiri program ini untuk mengijazahkan pelajar-pelajar yang baru mendaftarkan diri sebagai ahli PSSCM. YDP PSSCM Cawangan Perak, En Abdul Halim bin Saad, beserta beberapa AJK PSSCM Cawangan Perak turut sama hadir bagi memeriahkan program ini.

                Iltizamnya, pelajar-pelajar yang berjaya didaftarkan untuk menjadi ahli PSSCM adalah hasil usaha ahli Jawatankuasa Pengambilan Ahli Baru UTP 27 PSSCM UTP. Mereka bertungkus-lumus untuk mempromosikan PSSCM kepada pelajar-pelajar UTP. Seramai 27 orang pelajar UTP telah berjaya diijazahkan pada tarikh tersebut dan menjadi ahli PSSCM dengan rasminya. Adalah diharapkan agar setiap ahli kelas Latihan UTP 27 akan berusaha mempelajari Silat Cekak hingga ke peringkat Tamat dan bersijil, dan terus menyumbang bakti dalam PSSCM pada masa akan datang.

Program Pengambilan Ahli Baru UTP 27



               Pada semester Januari 2013, PSSCM UTP telah mengadakan Majlis Demonstrasi dan Penerangan  sempena pengambilan ahli baru UTP 27. Tujuan utama majlis tersebut diadakan tidak lain tidak bukan ialah untuk membuat pengambilan ahli baru PSSCM kelas UTP 27. Tujuan lain ialah untuk memperkenalkan PSSCM UTP sebagai salah satu seni mempertahankan diri yang ada di UTP serta untuk menerangkan PSSCM dengan lebih lanjut lagi.

                Program yang telah di ketuai oleh saudara Muhammad Hafiz Aiman Bin Zulfikri Halim ini mengandungi tiga sesi iaitu pembukaan booth pameran , Malam Demonstrasi dan Demonstrasi ringkas. Program ini telah berlangsung selama lapan hari dalam lima minggu dan ini merupakan salah satu majlis yang sangat penting bagi pihak PSSCM UTP untuk menarik ahli-ahli baru menyertai PSSCM UTP.

                Booth pameran telah diadakan di foyer Pocket D serta di kafe UTP berdekatan dengan Bank CIMB bertujuan untuk mempromosikan Silat Cekak berdasarkan sejarah , kaedah pembelajaran , isu semasa serta memperkenalkan sebahagian aktiviti yang telah dilakukan oleh PSSCM UTP kepada seluruh warga UTP.

                Sementara itu, Malam demonstrasi telah diadakan untuk mempamerkan Silat Cekak dari segi teori dan praktikal kepada seluruh warga UTP khasnya kepada pelajar baru semester januari 2013. Malam demonstrasi ringkas pula ialah demonstrasi iringan, yang diadakan untuk memperkenalkan PSSCM UTP kepada pelajar baru yang tidak dapat hadir pada malam demonstrasi yang pertama. Terdapat juga demonstrasi jemputan sempena Minggu Mesra Kampus (MMK), yang berlangsung di Pocket D.

Berikut adalah gambar-gambar semasa program berlangsung.

Demonstrasi di V2 (Wanita)





Malam Demonstrasi di Perkarangan V6(Lelaki)



Demo sempena MMK



Demonstrasi Iringan



Himpunan Siap Siaga PSSCM Sempena Majlis Perasmian Dewan Datuk Haji Maideen

      12 Rabiulawal merupakan tarikh yang istimewa bagi umat Islam. Tarikh di mana rahmat teragung diberikan Allah S.W.T kepada seluruh umat Islam, iaitu tarikh kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Kedatangannya ditunggu-tunggu dalam menyatu-padukan kembali umat Islam yang semakin menurun akhlaknya ketika itu. Atas jasa dan pengorbanan Baginda, serta rasa untuk menyemaikan rasa cinta dan rindu kepada Baginda, wajarlah kita sebagai umatnya berselawat dan memuji-muji Nabi Muhammad S.A.W. Majlis berselawat, berzanji, marhaban adalah alternatif yang sesuai dalam usaha untuk mengingati Baginda.

      Pada tahun ini, sambutan Maulidur Rasul PSSCM begitu istimewa sekali. Sambutan pada tahun ini melibatkan semua Cawangan PSSCM seluruh negara, berbanding tahun-tahun sebelum ini yang melibatkan sambutan di peringkat cawangan sahaja. Istimewanya pada tahun ini, PSSCM telah mempunyai dewan yang tersendiri, setelah mempunyai bangunan yang tersendiri, setelah 48 tahun dilahirkan ke alam nyata. Dewan ini yang dinamakan Dewan Datuk Haji Maideen, sempena YM Guru Utama PSSCM, menjadi lambang atas kejayaan PSSCM dalam usaha untuk memartabatkan bangsa Melayu.

      Perhimpunan Siap Siaga telah diwar-warkan di kaca televisyen menerusi slot Malaysia Hari Ini di TV3. Laporan mengenai program itu boleh dibaca di sini. Tidak dilupakan juga juga doa dan harapan untuk rakyat Palestin, yang boleh dibaca di link ini.

      Tarikh 12 Rabiulawwal 1434 bersamaan dengan 24 Januari 2013 merupakan tarikh yang bersejarah bagi semua ahli Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia menyambut Maulidur Rasul dan menghadiri Perhimpunan Siap Siaga serta menyaksikan perasmian Dewan Datuk Haji Maideen yang telah berlangsung di Dewan Datuk Haji Maideen di Seremban , Negeri Sembilan. Majlis yang julung kali diadakan itu merupakan wadah bagi mengeratkan ikatan silaturahim diantara ahli-ahli Silat Cekak selari dengan slogan PSSCM , Bersama dan Bersatu.
      
      Tepat jam 8 pagi, telah berlangsungnya Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Dewan Datuk Haji Maideen. Majlis tersebut telah diadakan tidak lain tidak bukan bagi membangkitkan rasa cinta kepada Rasulullah S.A.W., seorang kekasih Allah SWT yang telah berjuang menegakkan agama Islam ke seluruh dunia. Majlis tersebut berlangsung dengan berzanji , berselawat serta ceramah.

      Pada jam 2 petang,pula telah berlangsung Perhimpunan Siap Siaga serta Majlis perasmian Dewan Datuk Haji Maideen. Turut hadir ialah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, YB Dato Seri Utama Dr. Rais Yatim serta Ketua Setiausaha kementerian , Datuk Seri Kamaruddin Siaraf. Majlis berlangsung dengan ucapan dasar daripada YM Guru Utama PSSCM , Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah diikuti dengan penyampaian ucapan perasmian oleh YB Dato Seri Utama Dr. Rais Yatim dengan lantang dan penuh bersemangat. Dalam ucapan perasmian itu , YB Menteri telah menjanjikan sumbangan dari KPKK kepada PSSCM sebanyak RM 500 000. YB Menteri juga telah menyerahkan15 unit netbook 1Malaysia kepada ketua-ketua cawangan negeri diikuti dengan penyerahan cek bantuan pentadbiran sebanyak RM 30 000. Dewan Datuk Haji Maideen dirasmikan dengan paluan gong oleh YB Menteri serta pemotongan riben pelan pembangunan fasa 2 Kompleks PSSCM.

Beberapa ahli PSSCM UTP ketika hari kejadian

Sementara menunggu ketibaan VIP

      Dianggarkan seramai 2500 ahli PSSCM dari seluruh negara telah hadir dalam majlis yang telah berlangsung dari pagi hingga petang itu. Majlis tersebut juga menunjukkan bahawa PSSCM telah berjaya mengorak langkah ke satu tahap yang lebih tinggi serta memperlihatkan bahawa usaha-usaha yang telah dilakukan oleh ahlinya bagi memartabatkan seni silat cekak bukanlah usaha yang sia-sia. Semoga kejayaan demi kejayaan bakal dikecapi oleh PSSCM bagi memartabatkan seni silat cekak setaraf dengan seni mempertahankan diri antarabagsa yang lain.



Bergambar kenangan di pentas utama

Berikut adalah laman web rasmi memaparkan laporan mengenai program tersebut.

1. Laman web rasmi PSSCM
http://www.silatcekak.org.my/index.php/informasi/terkini/255-lebih-2500-ahli-jayakan-himpunan-siap-siaga-psscm.html

2. Portal Rasmi Kementerian Penerangan
http://www.kpkk.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=6141%3A2013-01-25-01-10-21&catid=16%3Acover-flow&lang=bm

3. Laporan berita di RTM TV1
http://www.youtube.com/watch?v=PGIExTjKz34&feature=youtu.be

4. Malaysia Hari Ini 25 jan 2013 - Himpunan Siap Siaga PSSCM
http://www.youtube.com/watch?v=Gx3HdB_F2ws&feature=youtu.be

5. Laporan berita daripada Bernama
http://www.bernama.com.my/bernama/v6/bm/newsindex.php?id=924046