Sajak Jampi Bangsaku

Bismillahirrahmanirrahim
Hei bangsaku aku tahukan asalmu
Ribuan tahun punya hak dan pertuanan di sini
Punya kekuatan punya peradaban
Punya kebenaran punya keagungan
Punya ketuhanan punya kebudayaan

Hei bangsaku aku tahukan asalmu
Akar jiwaku memegang darahku
Batang hatimu menjadi tubuhku
Daun aqalmu melitup zat dan sifat,
Bangsaku jangan  mengubah rupa
Bangsaku jangan meleka sambil melewa
Biarlah utuh diujian sepanjang masa

Hei bangsaku,
Seribu lupa selaksa sedar
Tawarlah segala yang lupa
Dari hikmatan kebendaan dan kepuraan
Dari hikmatan peniruan dan kesesatan
Tawar sekali dari bisa onar dan kemusnahan,
Jika bisa pada jiwa tawar pada hati
Bisa pada aqal tawar pada aqal
Tawarlah pada segala wujud keperibadian kita
Pulang pulih seperti keadaan asal

Hei bangsaku aku tahu usulmu
Jatuh di segala ceruk rantau alam ini
Jatuh di utara jatuh di selatan
Jatuh di timur jatuh di barat,
Janganlah pula duduk tunggu jaga mengilas siku.

Hei bangsaku,
Aku mintamu pindah balik segala kekuatan
Segala peradaban segala kebenaran
Segala keagungan dan segala-gala
Memulia dan meneruskan kegemilangan

Biarlah utuh diuji zaman-berzaman
Itulah asalmu tapakmu bersenang
Masa kini dan akan datang,
Aku hendak minta kepadamu
Pulang pulih seperti keadaan asal
Sebab belum cukup belum genap belum sampai ajal
Bukan kuasa aku dengan kuasa Allah
Berkat kita kata: Lailaha illallah Muhammadar Rasulullah

Nukilan:
Prof Dato’  A. Aziz Deraman
Mantan Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan. Pustaka (DBP) Malaysia dan Profesor Adjung, Universiti Utara Malaysia

Peperiksaan Akhir Semester Januari 2011


Selamat berjaya didalam menghadapi peperiksaan akhir semester Januari 2011 kepada semua ahli PSSCM UTP khususnya. Hadapi setiap tekanan dan cabaran dengan baik agar segala perjalanan jadual peperiksaan dapat dihadapi dengan tenang dan lancar. Restu daripada YM Guru Utama telah diperolehi seterusnya marilah kita bersama-sama mendapatkan restu dan doa daripada ibu dan bapa kita agar Allah S.W.T mempermudahkan setiap urusan yang akan kita lalui. Insya-Allah.

-Jangan berserah pada restu semata-mata, usaha sendiri pun mesti disertakan juga. Selamat belajar semua dan semoga mendapat keputusan yang anda mahukan!  :-)

Selamat Maju Jaya


                                                   (Hazeeq, Diyana, Shameen & Sholleh)

       
Selamat maju jaya!!! Ucapan ini ditujukan khas kepada saudara Sholleh Cahyoadi dan juga saudari Siti Nor Diyana yang akan menamatkan pengajian mereka di Universiti Teknologi PETRONAS. Semester Januari 2011 iaitu semester ini merupakan semester terakhir bagi mereka di sini sebagai pelajar yang mengambil ijazah. Untuk makluman, saudara Sholleh mengambil jurusan kejuruteraan elektrik & elektronik manakala saudari Diyana mengambil jurusan Teknologi Maklumat (IT). Kedua-dua mereka juga merupakan Tenaga Pengajar Silat Cekak Malaysia di UiTM Seri Iskandar. Mereka berdua merupakan insan yang telah banyak berjasa dalam membangun, memajukan dan mengekalkan prestasi PSSCM UTP sepanjang mereka disini. Syabas, tahniah dan terima kasih diucapkan kepada mereka. Semoga hari yang mendatang kita diberi keizinan untuk bertemu bersama saudara Sholleh dan saudari Diyana.

-Adik-adik di UiTM akan merindui Abg Sholleh dan Kak Diyana :-)