PERJUMPAAN KELAS KEMAHIRAN KELAS LATIHAN IBU PEJABAT NEGERI PERAK KALI KE-2

26 Februari 2011, Universiti Teknologi PETRONAS – Satu Perjumpaan Ahli Kelas Kemahiran Kelas Latihan Ibu Pejabat Negeri Perak Kali ke-2 telah diadakan di Dewan Kuliah D1, Poket D, UTP. Perjumpaan tersebut dihadiri oleh ahli-ahli kelas kemahiran yang terdiri daripada ahli-ahli PSSCM UTP, UiTM Perak, KISDAR dan juga Changkat Lada.



Perjumpaan tersebut bermula pada jam 3.00 petang yang dipengerusikan oleh Encik Zabidi Azizi bin Abu Kassim, selaku Ketua Jurulatih Kelas Kemahiran Negeri Perak. Sesi penerangan kelas kemahiran telah disampaikan oleh Encik Abdul Halim bin Saad, selaku Ketua Pengurusan Kelas Latihan Ibu Pejabat PSSCM Negeri Perak.



Alhamdu Lillah, perjumpaan tersebut berjalan dengan lancar dan berakhir pada jam 6.00 petang. Diharapkan agar segala perkongsian dan pengulasan yang disampaikan pada hari tersebut diberikan perhatian oleh semua ahli kelas kemahiran dan dapat diaplikasikan untuk menghadapi Ujian Sijil Rendah yang mendatang. Akhir kata, selamat menghadapi USR dan semoga berjaya untuk semua.



KARNIVAL WAJADIRI IPT PSSCM 1 MALAYSIA KALI KE-4


18 Dec 2010, Tanjung Malim, Perak- Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) telah menganjurkan Karnival Waja Diri IPT PSSCM 1 Malaysia Kali Ke-4 Tahun 2010 di Dewan SITC, UPSI, Tanjung Malim, Perak yang juga merupakan anjuran bersama PSSCM Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Sebanyak 49 pasukan daripada 28 universiti dan kolej seluruh Malaysia telah menyertai acara tahunan ini.
Karnival ini terbahagi kepada dua agenda penting iaitu pertandingan demonstrasi dan Majlis Makan Malam Perdana. Karnival WajaDiri IPT PSSCM 1 Malaysia Kali Ke-4 yang telah dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Hj. Mohd. Ali bin Mohd. Rustam, Ketua Menteri Melaka di Dewan SITC. Manakala, Majlis Makan Malam Perdana telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan di Dewan Serbaguna Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS).        

 

Pertandingan demonstrasi ini merangkumi empat kategori dan peserta PSSCM UTP telah berjaya memenangi dua pingat perak bagi Kategori 2(wanita) dan Kategori 3 (lelaki). PSSCM UTP juga telah berjaya mendapat tempat ketiga bagi juara keseluruhan kategori wanita.



Penyampaian hadiah telah disampaikan oleh YB Datuk Hj. Maideen bin Kadir Shah, Guru Utama PSSCM semasa Majlis Penutup Karnival Waja Diri IPT PSSCM 1 Malaysia Kali Ke-4 di  Dewan SITC pada pukul 5.00 petang. 

Majlis Makan Malam Sambutan 10 Tahun PSSCM IPT Perak

23 Okt 2010, Dewan Serbaguna UTP - Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia telah berjaya menganjurkan "Majlis Makan Malam Sambutan 10 Tahun PSSCM IPT Perak". Majlis makan malam ini merupakan penganjuran bersama PSSCM UTP, PSSCM UiTM Perak dan KSSCM PUO sempena dengan sambutan 10 tahun penubuhan PSSCM di IPT Perak iaitu, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Teknologi Mara, dan Politeknik Ungku Omar.



Majlis ini telah dirasmikan oleh Encik Roslin Bin Ali Omar, Setiausaha Agong Persatuan Seni SIlat Cekak Malaysia. Tetamu kehormat yang turut hadir adalah Tuan Haji Mohamed Noor Rosli Bin Baharom, Pengarah Jabatan Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar UTP, En. Faizal bin Mohd Yusof, Ahli Jawatankuasa Pusat,dan Encik Abdul Halim Bin Saad, Ketua Pengurusan Kelas Latihan Ibu Pejabat Negeri Perak. 

Seramai 240 orang peserta yang hadir pada malam tersebut dan seramai 80 orang adalah alumni daripada PSSCM UTP, PSSCM UiTM Perak, dan KSSCM PUO.


Sepanjang majlis ini berlangsung, majlis diserikan dengan persembahan demonstrasi bermuzik daripada PSSCM UiTM dan sketsa daripada KSSCM PUO.

Sempena dengan majlis makan malam ini juga, Tuan Haji Mohamed Noor Rosli bin Baharom, selaku Penasihat I PSSCM UTP telah menerima Anugerah Khas Sambutan 10 Tahun PSSCM IPT Perak. Anugerah ini adalah sebagai penghargaan di atas jasa dan bakti yang telah dicurahkan kepada PSSCM UTP semenjak awal penubuhan PSSCM UTP pada tahun 1999.


Pihak PSSCM UTP mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang memberi kerjasama untuk menjayakan majlis yang julung kali diadakan.